Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA NERUS, 13 Ogos - Kehadiran lebih 30,000 peminat motosikal RXZ dari seluruh pelusuk negara ke program RXZ Members 4.0 menimbulkan rasa teruja para peserta dan pengunjung
Rata-rata pengunjung ketika ditemui menyatakan bahawa acara ini sentiasa dinantikan kerana ia bukan hanya menjadi platform untuk peminat motosikal berhimpun tetapi ia turut menjadi medan bernostalgia bersama RXZ.
Muhd Azmi Jantan, dari Temerloh berkata, program berkenaan sentiasa disertai olehnya pada setiap tahun.
"Kecuali ketika dilanda pandemik Covid-19 acara ini tidak dapat diteruskan seperti biasa, Alhamdulillah pada kali ini kita melihat lebih ramai yang menyertainya.
"Saya datang sejak semalam bersama dengan 50 rakan, kami ini bergerak dalam dua kumpulan iaitu Velocity Racing dan juga Mat Speed.
"Memang seronok berjumpa dengan rakan-rakan dari setiap negeri, dapat berkongsi pandangan serta yang paling penting kami mempunyai hobi yang sama, bagi saya motor RXZ ini tidak akan luput ditelah zaman," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di RXZ Members 4.0, di Terengganu International Drag Strip, Gong Badak.
Sementara itu, Tarmizi Azhar, 34, dari Klang, Selangor menyatakan, penganjuran tahun ini merupakan program pertama yang disertainya.
"Datang ke sini untuk merasai suasana kemeriahan sebagaimana yang pernah diperkatakan mengenai kemeriahannya, terutama ketika kali terakhir diadakan pada tahun 2019.
"Dapat dilihat akan sambutan yang diberikan oleh pengunjung, walaupun dalam cuaca panas terik itu tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk hadir ke program ini.
"Bagi saya sangat wajar kerajaan negeri menyokong atau menjadi penganjur bersama kepada program seperti ini kerana dapat dilihat, kehadiran pengunjung dari luar Terengganu telah membantu para peniaga, pengusaha kedai makan, mahupun pemilik rumah inap desa dan hotel, kerana semunya datang dari jauh seperti saya ini," katanya.
Dalam pada itu, mengenai janji Perdana Menteri untuk mewujudkan litar lumba drag di setiap negeri adalah langkah baik, ujar pengunjung dari Negeri Sembilan, Tajul Abdul Rahman, 29.
"Namun kita harapkan agar ia tidak bersifat janji semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dalam usaha memperkasakan sukan permotoran dalam negara ini.
"Kerana selama ini anak muda memang mendambakan litar yang selamat untuk melakukan aktiviti ini, dan dapat mengelakkan diri anak muda terjebak kepada kancah yang tidak sihat, selama ini litar yang dinyatakan itu hanya ada di Terengganu dan Melaka, sebagai anak muda kami menyambut baik cadangan itu," katanya.