Tomislav Puas Hati Aksi Ismaheel Akinade

KUALA NERUS, 18 April - Pengendali pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC), Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan aksi ditunjukkan penyerang import baharunya, Ismaheel Akinade pada perlawanan pramusim Agarbomb Performance Cup 2024 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Tomislav lega ketiadaan penyerang utamanya, Ivan Mamut yang dilanda kecederaan sedikit sebanyak ditampung penyerang kelahiran Nigeria itu.

"Ismaheel bekerja keras dan memberikan 100 peratus (dalam latihan dan perlawanan), hari ini beliau menjaringkan gol lagi dan sebelum ini menjaringkan tiga gol.

"Saya berpuas hati dengan usahanya, beliau mempunyai kualiti dan kepantasan. Ivan mungkin pemain yang berbeza tetapi kedua-dua mereka akan bermain lebih banyak kerana musim baru ini lebih panjang," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, semalam.

Pada aksi pertama menentang Penang FC itu, Ismaheel muncul wira pasukan dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-69.

Pengendali kelahiran Croatia itu juga memaklumkan akan memanfaatkan aksi pramusim sebelum memutuskan barisan kesebelasan utamanya menjelang aksi Liga Super 2024/2025 kurang sebulan lagi.

"Kalau dilihat kita tampil musim ini dengan kehadiran tujuh pemain baharu berbanding musim lalu. Kadang-kadang, ia memerlukan masa untuk para pemain menyesuaikan diri.

"Kita juga tidak mahu berlakunya kecederaan lagi di kalangan pemain menjelang permulaan liga," katanya.

 

 

 

 


Tag: