Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
KUALA NERUS, 23 September – Jolokan ‘adiwira sampah’, sesuai diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Trash Hero Batu Buruk yang berusaha keras bagi menjaga kebersihan sekitar terutamanya di sekitar kawasan pantai.
Menurut Setiausaha Trash Hero Batu Buruk, Ishak Hanis Abdullah, mereka komited dan tidak putus asa untuk menyampaikan mesej utama mereka kepada masyarakat melalui ‘tag line: We clean, we educate we change’ bagi mengubah mentaliti masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
Beliau berkata, Trash Hero Batu Buruk merupakan satu NGO yang berdaftar di bawah induknya, ‘Trash Hero World’ yang berpengkalan di Switzerland dan mereka merupakan NGO Trash Hero yang pertama yang ditubuhkan di Negeri Terengganu bagi memupuk kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar kepada masyarakat setempat.
“Setiap Hari Sabtu, kami konsisten mengutip sampah di sekitar Pantai Batu Buruk mulai pukul 5:30 petang dan kita mengalu-alukan semua masyarakat Terengganu untuk sama-sama menyertai program mingguan ini.
“Kami tidak mengenakan sebarang kos penyertaan, ‘zero-cost’ (sifar-kos), penyertaan secara percuma, anda hanya perlu datang dan sertai sahaja, sama-sama kita menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 yang diadakan di Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, baru-baru ini.
Ishak bersama-sama sukarelawan Trash Hero Batu Buruk turut menyertai program terbabit sebagai bukti kebersamaan mereka dalam usaha atau kempen yang digerakkan bagi menjaga alam sekitar.
“Kami berada di sini hari ini, untuk berganding bahu menjayakan program bagi memberi kesedaran kepada komuniti dan masyarakat betapa pentingnya menjaga alam sekitar kerana jika bukan kita siapa lagi yang mahu menjaga kebersihan alam sekitar ini.
“Alhamdulillah, hari ini juga kami berjaya memenangi tempat pertama, sampah yang paling banyak dikumpulkan yang mana mengekalkan rekod nombor satu yang berjaya diraih pada tahun lepas.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam penganjuran program ini,” tambahnya.
Ishak berharap agar usaha kecil NGO mereka yang sudah menginjak ke usia dua tahun ini dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.
Beliau turut berpesan kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata dan lebih baik sekiranya masyarakat dapat membawa sendiri bekas bagi mengisi sisa sampah hasil daripada makanan yang dimakan.
“Bawa plastik sendiri, kemudian isi sampah di dalamnya dan bawa pulang.
“Tidaklah semata-mata kita mengharapkan pihak berkuasa tempatan untuk sediakan tong sampah,” akhirinya.