TSG Mahu Pertahan Jersi Putih di Le Tour de Langkawi 2023

KUALA TERENGGANU, 13 September- Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) meletakkan sasaran untuk mempertahankan salah satu jersi yang dimenangi tahun lalu, apabila bersaing dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, salah satu jersi yang dimenangi pada tahun yang lalu iaitu jersi Raja Bukit (jersi hijau) yang dimenangi Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif atau Pelumba Terbaik Asia (jersi putih) milik Jambaljambts Sainbayar bakal menjadi keutamaan pasukannya. 

"Jadi, enam pelumba bakal menggalas tugas tersebut dalam saingan yang bakal membuka tirai perlumbaan pada 23 September ini.

"Kita akan menurunkan tiga pelumba tempatan iaitu Mohd Harrif Saleh, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Nur Aiman manakala pelumba import terdiri daripada Jeroen Meijers, Sainbayar dan Youcef Reguigui.

"Pelumba-pelumba ini akan diketuai Amirul Fakhruddin selaku ketua pasukan," katanya.

Tambahnya, TSG juga menyasarkan satu podium peringkat selain berusaha memperbaiki prestasi pasukan dalam edisi-edisi sebelum ini.

Lebih menarik, jersi putih LTdL 2023 ditaja oleh kerajaan negeri melalui Beautiful Terengganu yang akan menaikkan semangat pasukan untuk mempertahankannya.


Tag: