• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Tukar Baucer Lesen Motosikal Percuma Segera - ADUN Rantau Abang


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 21 April - Penerima baucer Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) diingatkan supaya segera mendaftarkan diri untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan lesen motosikal tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kelewatan menyerahkan baucer itu menyebabkan penerima terbabit gagal menyertai program lesen motosikal percuma tersebut.

Alias mengingatkan demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian 'Terengganu Go-Clean' Terengganu 2019 Peringkat DUN Rantau Abang di Pantai Teluk Bidara di sini semalam.

Majlis Penyerahan Baucer LMTS untuk penerima DUN Rantau Abang telah diadakan di Dewan Darul Ansor di sini kelmarin.



Sebelum itu sasaran meluluskan seramai 25 ribu orang pemohon lesen motosikal percuma tahun ini hampir tercapai sejak ia dibuka secara dalam talian dan manual baru-baru ini.

Kerajaan negeri hanya memerlukan seramai kira-kira lebih 700 orang pemohon lagi untuk mempercukupkan bilangan tersebut sebelum urusan selanjutnya dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan,  Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mengikut angka yang disenarai pendek, kerajaan negeri kekurangan lebih 700 orang lagi pemohon program tersebut.

"Kita (kerajaan) akan berusaha untuk mencukupkan jumlah 25 ribu orang itu secepat mungkin.

"Kita sedang usaha untuk jejaki mereka ataupun pilih mana yang layak (dalam senarai sedia ada) untuk mengisi tempat yang masih lagi kosong, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Hari Kereta Wira Edisi Ketiga 2019 di Terengganu International Drag Strip Gong Badak Kuala Nerus baru-baru ini.


Tag: