• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Ubahsuai Motor Jadi Basikal



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 8 September- Idea kreatif bekas pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat mengubahsuai motosikal terpakai kelihatan seumpama basikal berjaya menarik tumpuan penduduk Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

Mohd Zamri Sulaiman berkata, dia menggunakan kreativiti sendiri melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dan ramai yang menyangka bahawa ianya basikal namun sebaliknya sebuah motorsikal jenama Honda EX-5 yang telah diubahsuai.

"Saya membeli motor honda EX-5 ini dengan harga RM600 dan telah menghabiskan sebanyak RM 2,600 bagi menampakkan ianya sebuah basikal.

"Ianya begitu ringan, santai dipandu dan kelajuannya biasa sahaja. Tangki minyak sedikit kecil kerana dicipta bagi membolehkannya kelihatan seperti basikal dimana dengan isian RM3 sudah penuh tangki," jelasnya yang mengusahakan perniagaan besi buruk.


Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, di Taman Madani Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), baru-baru ini.

Menurutnya, hasil pengubahsuaian itu diminati oleh semua golongan terutamanya kanak-kanak.

"Ianya memerlukan ketekunan, dan perlu fokus serta benar-benar teliti melakukan pengubahsuaian," jelasnya.

Sementara itu,  Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman melahirkan rasa kagum selepas berkesempatan mencuba motor berkenaan.

Katanya, anak muda perlu mencontohi usaha mencari insiatif untuk meneroka sesuatu yang baru sebagai contoh mengubahsuai jentera pertanian seperti traktor misalnya kepada yang lebih ringan.

"Supaya dapat meneroka sesuatu yang baru bagi membantu apa jua bidang, kerana anak muda pada kelazimannya dikurniakan oleh Allah pemikiran yang kreatif bagi mengolah sesuatu alternatif baru.

"Mungkin boleh difikirkan motor yang boleh berfongsi sebagai lori, ataupun motor yang boleh membajak sawah yang boleh dimanafaatkan oleh semua golongan," ujarnya.


Tag: