Usah Biar Palestin Lenyap Daripada Peta Dunia
Selepas sekian lama, akhirnya Israel dengan sokongan penuh Amerika Syarikat (AS) berjaya mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya. Kini, langkah seterusnya adalah memperluaskan negaranya ke tanah milik Palestin di sekeliling secara haram dan kuku besi.
Negara Islam tidak harus membiarkan hal itu. Namun, apa yang mendukacitakan, ada sebahagian negara Islam bertolak ansur dengan regim Yahudi dan kuasa AS yang amat gelojoh itu, demi muslihat sendiri.
Dunia Islam sepatutnya bersatu menentang penaklukan haram itu, mengambil kira beberapa fakta dan hakikat sebenar Palestin serta kesucian Masjid al-Aqsa selaku kiblat pertama umat Islam.
Kerajaan dan umat Islam harus sedar bumi Palestin amat penting dari segi fizikal serta spiritual kepada kesucian Islam dan misinya kepada keseluruhan umat manusia.
Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan kesucian bumi ini dan sejarahnya dalam konteks Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat serta kesejahteraan kepada manusia dan dunia.
Al-Quran menyatakan Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestin ini dengan jelas seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman dan Isa AS.
Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW diberikan penghormatan amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada malam Israk di Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu mukjizat besar disebutkan al-Quran.
Masjid al-Aqsa terletak di Palestin. Seperti dijelaskan, ia kiblat pertama umat Islam dan antara masjid suci, di samping Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua masjid itu.
Namun, amat malang apabila masjid suci yang juga kiblat pertama, iaitu Masjid al-Aqsa kini dikuasai rejim Israel, selepas kekalahan Arab dalam Perang Lima Hari pada Jun 1967.
Sejak penaklukan Zionis itu, mereka melakukan pelbagai aktiviti merosakkan Masjid al-Aqsa. Hanya beberapa hari selepas penaklukan, mereka merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat masjid dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat bagi orang Yahudi.
Dalam usaha mencari bukti sejarah mengenai kehadiran apa yang dipanggil Kuil Solomon di kawasan utara dan barat kota Baitulmaqdis, mereka menjalankan kerja galian dan pembongkaran besar di kawasan berkenaan, tetapi tidak menemui bukti yang dicari.
Malah, bukti sejarah yang mereka temui menunjukkan bandar dan kota ini ialah kota suci umat Islam.
Sekurang-kurangnya tiga faktor menjadikan Palestin penting kepada umat Islam - kesucian Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama, kekejaman hebat rejim Israel dan gerakan Zionis antarabangsa terhadap umat Arab serta Islam dan serangan mental serta fizikal dilakukan AS dan Eropah hingga memecahbelahkan tanah Palestin dan rakyatnya serta seluruh umat Islam.
Negara Zionis itu ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah kecil sahaja, tetapi mereka merampas 77 peratus tanah Palestin dan mengusir kira-kira 800,000 penduduknya yang menjadi pelarian perang ketika Israel memenangi peperangan dengan Arab antara 1948 hingga 1967.
Dalam peperangan Jun 1967, baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza.
Rejim ini juga menakluki Pergunungan Golan seluas 1,150 kilometer (km) persegi dari Syria dan Semenanjung Sinai (61,198km persegi) daripada Mesir. Akibatnya kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang, terpaksa meninggalkan tanah air mereka.
Namun, Sinai dikembalikan kepada Mesir ketika negara berkenaan memenangi peperangan dengan Israel pada 1974 dengan beberapa syarat diletakkan termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan daripada AS selaku sekutu Israel.
Kini, sebahagian besar kawasan yang pernah ditakluk itu akan dijadikan kawasan milik Israel seterusnya.
Ini berdasarkan berita Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 1 Julai lalu yang akan mengisytiharkan kawasan Lembah Jordan dan Lautan Mati Utara sebagai sebahagian milik negara Israel.
Apakah umat Islam hanya akan berdiam diri dengan tindakan ini?
Ahli Lembaga Pengarah Institut Intergriti Malaysia (IIM)