• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Bermula sebagai projek kecil keluarga, seorang usahawan wanita dari Gong Penaga, Jabi, Terengganu kini mengorak langkah lebih jauh dalam industri penanaman cendawan dan merancang untuk menembusi pasaran eksport.

Afizah Mat Sulaiman, 34, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Perladangan dari UiTM pada tahun 2014, mula mengusahakan cendawan pada tahun 2014 sebelum mendaftarkan syarikatnya secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2016. 

Menurut Afizah, minatnya terhadap perniagaan ini tercetus selepas melawat beberapa ladang cendawan di sekitar Besut termasuk telah menjalani latihan praktikal di beberapa tempat semasa masih menuntut di universiti.

"Rumah cendawan pertama dibina bersama keluarga menggunakan kayu-kayu terpakai dan pokok gelang yang terdapat di sekitar rumah," katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Beliau kini mengusahakan tiga jenis cendawan utama iaitu cendawan kukur (kulat sisir), cendawan tiram, dan cendawan jeli hitam secara kecil-kecilan.

 

Menurutnya lagi, bagi meningkatkan kecekapan perniagaan, dia merancang untuk memperluas pengeluaran cendawan kukur ke pasaran eksport kerana proses pengeringan yang mudah dan kandungan nutrien tinggi menjadikannya berpotensi untuk perubatan, kecantikan dan kesihatan.

"Cendawan kukur memerlukan tempoh semusim selama sebulan, manakala cendawan tiram dan jeli hitam memerlukan empat bulan. 

"Pengeluaran cendawan biasanya lebih tinggi pada musim hujan berbanding musim panas, namun harga pasaran agak tidak stabil disebabkan oleh lebihan bekalan, terutama untuk cendawan tiram. 

"Sebaliknya, harga bagi cendawan kukur dan jeli hitam lebih stabil," ujar  Afizah yang mendapat modal permulaan daripada keluarganya.

Berikut adalah harga pasaran semasa bagi cendawan yang diusahakan, cendawan kukur (borong) RM50/kilogram (kg), cendawan kukur (runcit) RM80/kg, cendawan tiram (borong) RM13/kg, cendawan tiram (runcit) RM18/kg, cendawan jeli hitam (borong) RM30/kg dan cendawan jeli hitam (runcit) RM40/kg.

 

Namun, cabaran besar dalam perniagaan ini adalah perubahan cuaca yang tidak menentu, yang mempengaruhi serangan penyakit ke atas tanaman.

"Pada musim hujan, saya lebih menumpukan kepada pengeluaran cendawan kukur dan jeli hitam kerana kedua-dua jenis cendawan ini boleh dikeringkan dan dijual secara dalam talian, manakala cendawan tiram lebih sukar disimpan dan hanya boleh dijual dalam lingkungan sekitar ladang," tambahnya.

Dengan modal permulaan sekitar RM10,000, Afizah banyak memanfaatkan sumber yang sedia ada seperti kayu terpakai untuk mengurangkan kos. 

Afizah juga berkongsi bahawa beliau pernah menerima bantuan mesin dan bahan mentah daripada Jabatan Pertanian serta sokongan berterusan daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT), yang banyak membantu usahawan dalam bidang penanaman cendawan.

"Khasiat cendawan kukur turut diakui dalam bidang perubatan kerana ia mengandungi schizophyllan, sejenis ramuan yang digunakan dalam ubat anti-barah khususnya barah serviks. 

"Ia membantu meningkatkan sel imun yang berfungsi membunuh sel barah, virus, atau kuman yang menyerang badan," katanya.

Kini, dengan kapasiti penuh, Afizah mampu menjana pendapatan sehingga RM15,000 sebulan. 

Namun, disebabkan serangan perosak dan penyelenggaraan ladang yang sedang dijalankan, beliau hanya memperoleh sekitar RM2,000 sebulan buat masa ini.


Tag: