MARANG, 23 Julai - Yayasan Pertubuhan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah menyumbang 40 ekor lembu untuk dikorban dan diagihkan kepada masyarakat Islam di seluruh Terengganu pada Aidiladha tahun ini.
Sumbangan dengan kerjasama agensi AMCARE itu turut disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rhu Rendang.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, sumbangan tersebut sangat besar di kalangan masyarakat dan seluruh rakyat Terengganu.
"Lembu untuk ibadah korban ini merupakan tanda kerja-kerja ikhlas dan tanggungjawab korperat kepada komuniti khususnya fakir-fakir miskin dan asnaf di negeri ini, "katanya.
Beliau berkata ketika hadir ke tempat penyembelihan ibadat korban Hari Raya Aidiladha bersama penduduk kampung Rhu Rendang di Surau Al-Amin, Jumaat lalu
Menurutnya lagi, pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang sangat berbesar hati dengan sumbangan tersebut dan berharap sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa dan tahun-tahun akan datang.
"Saya juga difahamkan, ini juga merupakan sumbangan lembu pertama daripada pihak YaPEIM melalui agensi AMCARE di daerah Marang dan negeri Terengganu.
"Semoga ibadah korban kita pada tahun ini, diterima oleh Allah serta diberkatinya dan saya sekali lagi mewakili Menteri Besar Terengganu mengucapkan terima kasih kepada pihak YaPEIM," tambahnya lagi.