KUALA LUMPUR, 26 November — Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, sekali lagi tampil lantang dalam Dewan Rakyat apabila membangkitkan isu ketidakseimbangan penguatkuasaan undang-undang serta ketirisan dalam dasar percukaian negara yang kini menekan rakyat biasa.
Menegaskan bahawa undang-undang dan dasar percukaian mesti dilaksanakan secara adil, beliau menyelar kecenderungan tindakan undang-undang yang dilihat 'lebih tajam ke bawah', manakala golongan atasan menikmati keistimewaan apabila kes-kes tertentu berakhir dengan DNAA, NFA atau digugurkan tanpa penjelasan jelas kepada rakyat.
Dalam soalan tambahan yang dikemukakan, Wan Hassan turut menyorot isu ketidakseimbangan dalam pelaksanaan cukai negara. Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan mengenakan Low Value Goods Tax (LVGT) ke atas barangan bernilai rendah yang dibeli rakyat, sedangkan High Value Goods Tax (HVGT) — cukai terhadap barangan mewah bernilai tinggi — tidak diteruskan.
“Keadilan dalam percukaian mesti ditegakkan. Mengapa barangan berharga rendah yang dibeli rakyat dikenakan LVGT, sedangkan cukai barangan mewah pula tidak dikutip dan tidak diteruskan? Bagaimana kerajaan mahu meyakinkan rakyat bahawa prinsip keadilan benar-benar dipertahankan?” tegasnya.
Namun, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dilihat tidak menjawab persoalan sebenar yang dibangkitkan Ahli Parlimen Dungun.
Timbalan Menteri hanya mengulangi penjelasan lama bahawa LVGT dikenakan ke atas barangan bernilai RM500 ke bawah dalam sektor e-dagang bagi memastikan kepatuhan sistem percukaian.
Jawapan itu bagaimanapun tidak menyentuh isu utama yang dibawa oleh Wan Hassan — iaitu mengapa kerajaan memilih untuk meneruskan kutipan ke atas barangan kecil yang dibeli rakyat, tetapi tidak melaksanakan HVGT yang sepatutnya menyasar golongan berpendapatan tinggi dan pemilik barangan mewah.
Ketiadaan penjelasan mengenai sebab HVGT dibatalkan serta bagaimana keadilan fiskal dapat dijamin menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat.
Isu ini dijangka terus menjadi tumpuan kerana ia bukan sahaja melibatkan keadilan percukaian, tetapi juga persepsi rakyat terhadap keikhlasan kerajaan dalam memastikan golongan berada turut memainkan peranan menyumbang kepada hasil negara.