KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperkenalkan skim bantuan pinjaman terbaharu membabitkan peruntukan antara RM400,000 hingga RM500,000 sepanjang tahun ini.
Dana Bantuan Industri Asas Tani (DUNIA) itu mula diperkenalkan tahun ini bagi membantu golongan usahawan memasarkan produk hiliran berasaskan haiwan ternakan dan sumber pertanian.
Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus berkata, kelayakan pinjaman maksima tanpa riba itu diluluskan hingga RM30,000 dan ia bergantung kepada jenis perniagaan yang diceburi.
“YPU akan melihat apa keperluan pemohon, sekiranya mahu membeli peralatan menyembelih haiwan atau kelengkapan memproses produk asas tani, kita akan membantu membelinya.
“Jika mahukan modal pusingan, kita juga ada menyediakan peruntukan dalam jumlah tertentu.
“Sebaliknya, sekiranya pemohon itu mahu membeli haiwan ternakan, mereka perlu berhubung dengan Lembaga Pertubuhan Peladang yang memperkenalkan Skim Bantuan Modal Tani,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman.
Zulkifli berkata, wujudnya idea memperkenalkan DUNIA, selepas melihat usahawan tani gagal memasarkan produk masing-masing secara konsisten kerana kekurangan modal.
“Langkah itu sekurang-kurangnya memberi ruang kepada usahawan melebarkan ruang perniagaan masing-masing sehingga ke luar Terengganu atau di pasaraya terkemuka.
“Mereka perlu dibantu di mana sebelum ini hanya bertumpu kepada pasaran di kampung atau orang perseorangan sahaja sedangkan produk itu sangat berkualiti,” katanya.