Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA NERUS, 2 Julai - Terengganu FC menang tipis 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Selepas buntu mencipta jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) Rabu lalu, Nafuzi Zain melayan kunjungan Tok Gajah dengan taktikal baru apabila meletakkan Kpah Sherman selaku penyerang tunggal dan Petrus Shitembi di nadi pasukan.
Hasilnya, hanya 52 saat diperlukan penyerang Liberia itu bagi merobek gawang pelawat.
Sherman yang menerima lorongan Shitembi dalam serangan pertama, berjaya menewaskan penjaga gol kelahiran Mali, Mamadou Samassa.
Sir Pahang FC cuba bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian, tetapi sepakan percuma Kevin Ingresso tersasar ke sisi gawang.
Habib Haroon berpeluang menambah jaringan pada minit ke-8, namun rembatan leretnya ditangkap kemas Samassa.
Pada minit ke-21, Manuel Ott melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti, tetapi berjaya ditepis keluar Samassa.
Terengganu FC terus menguasai perlawanan dengan cubaan-cubaan ke kubu lawan sepanjang masa pertama.
Manakala, Sri Pahang FC terus buntu menjelmakan serangan ke kubu tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu terus garang menggasak pelawat.
Pada minit ke-68, Sri Pahang FC hampir menyamakan kedudukan apabila Malik Mat Arif berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.
Bagaimanapun, Muhamad Shahrul Nizam menyelamatkan bola di garisan gol.
Gol kedua Terengganu FC hadir pada minit ke-80 apabila Mohd Faisal Halim dijatuhkan Shahrul Aizad dalam kotak penalti.
Penalti pertama pada minit ke-75 berjaya diselamatkan Samassa, namun pengadil, Zulkarnain Zakaria mengarahkan sepakan diambil semula.
Faisal Halim kemudian mudah menewaskan Samassa untuk gol kedua Terengganu FC.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 2-0, Malik Mat Arif melepasi perangkap offside dan menewaskan Suhaimi untuk pelawat merapatkan kedudukan.
Sri Pahang FC cuba bangkit tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan dalam masa yang berbaki.
Terengganu FC naik ke kedudukan kelima dengan 13 mata.
Skuad kendalian Nafuzi itu akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA di halaman sendiri, Rabu ini.