MARANG, 24 Julai – Sebanyak 12 tukun tiruan konservasi telah dilabuhkan di kawasan perairan taman laut Pulau Kapas bertujuan untuk pemuliharaan khazanah laut sekali gus memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun di bawah peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM300,000 itu akan menjadi tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan.
“Ramai penggiat laut bertanya justifikasi labuhkan di kawasan yang tidak boleh memancing, jawapannya tukun bertindak sebagai rumah kepada hidupan lautan yang kemudian akan keluar ke laut untuk jadi rezeki tangkapan akan datang.
“Spesifikasi 12 tukun tiruan ini adalah berat sekitar 17 tan dibuat daripada bahan konkrit gred 35 akan bertahan di dasar laut sekitar 50 tahun.
“Ia turut berfungsi sebagai zon penampan untuk pukat tunda menghalang kepada pencerobohan di kawasan ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja melabuh tukun konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh.
Tambah Dr Azman, jangkaan hasil tukun tiruan tersebut akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk ditumbuhi hidupan laut dan spesis marin.
“Sejak tahun 2006 lagi, banyak tukun konservasi telah membuahkan hasil dan pelbagai kejayaan yang boleh didokumentasikan termasuk hasil spesis ikan gred A yang bertandang dan menjadikannya sebagai tempat perlindungan,” jelasnya lagi.