16 Pasangan Program Walimatul Urus Perdana 2018 Dirai Di Hulu Terengganu



Oleh: Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU  24 November- 16 pasangan pengantin baharu diraikan penuh meriah sempena program perkahwinan Walimatul Urus Perdana 2018  Parlimen Hulu Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, kuala Berang, di sini semalam.

Semua pasangan terbabit sebelum itu diijab qabulkan secara serentak di Masjid Kampung Buloh, Kuala Berang sebelum mereka diraikan dalam majlis perkahwinan secara beramai-ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, program ini merupakan inisiatif kerajaan yang peka dan sentiasa mendengar keluhan dan denyut nadi rakyat.

“Program ini diadakan bagi meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan untuk berkahwin oleh kerana kos kenduri yang mahal pada masa sekarang.

“Saya juga nak ucapkan tahniah atas kejayaan pihak penganjur yang menyatukan 16 pasangan pengantin pada hari ini,”katanya ketika merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2018.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim, ADUN Manir, Hilmi Dato' Harun; Penyelaras DUN Telemong,  Mohd Safari Abu; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Zainal Abidin Mohamed dan Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, Wan Humaidi Wan Ismail.

Tambah beliau , pasangan yang baru berkahwin ini diingatkan supaya belajar menerima gaya hidup baru pasangan masing-masing serta belajar cara bergaul dengan keluarga pasangan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Ingatlah bahawa apabila kita menerima pasangan kita sebagai teman hidup, maka ini juga bermakna kita menerima keluarga pasangan kita itu seluruhnya. Janganlah kita abaikan keluarga pasangan kita dan janganlah kita juga terlalu cepat mengambil hati di atas nasihat dan teguran yang bakal diberi.

"Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan kapal yang bernama taqwa, isinya iman dan layarnya adalah tawakal kepada Allah SWT,” Ucap beliau yang memetik pesanan Luqman Al-Hakim.

Dalam pada itu, Nur Nadiah Mohd, 22, yang berasal dari Kampung Payang Kayu, bersyukur selamat disatukan dengan pasangannya, Mohamad Farith Ibrahim, 28, yang lumpuh bahagian kaki selepas terbabit kemalangan lapan tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kami selamat dinikahkan dan lebih manis ia diadakan secara percuma kerana ditanggung kerajaan negeri.

“Wang simpanan yang sepatutnya digunakan untuk majlis kenduri bolehlah saya gunakan untuk keperluan kami terutama selepas mengikut suami yang bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya,” katanya yang berhasrat membuka kedai jahit di sana (Putrajaya) nanti.



Tag: