160 Unit RPMM Tok Jembal Dijangka Siap Jun

KUALA NERUS, 26 Mac – Projek perumahan melibatkan 160 buah unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di Tok Jembal dijangka siap sepenuhnya termasuk penyediaan landskap pada bulan Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata RPMM tersebut telah berada dalam fasa akhir untuk 'touch-up' sebelum diserahkan kepada pemilik nanti. 

“Dengan reka bentuk moden, RPMM ini akan memberi keselesaan kepada 160 orang penerima pemilik yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Harga yang ditawarkan juga amat rendah dengan harga RM80,000 seunit selepas subsidi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya baru-baru ini.

Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan berkata pembangunan lima blok RPMM empat tingkat itu membabitkan kos keseluruhan RM26 juta di kawasan seluas 1.7 hektar.

Menurutnya, pembinaan kediaman tersebut menyediakan komponen pembangunan yang membolehkan peserta menikmati kehidupan lebih baik kerana reka bentuknya boleh dikatakan paling moden dengan tempat letak kereta dan motosikal berbumbung serta mempunyai laluan yang menghubungkan kelima-lima blok.

“Inisiatif tersebut merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Terengganu dapat menghuni kediaman selesa dengan pelbagai kemudahan mencukupi untuk keluarga masing-masing.

“Hal itu kerana dalam membangunkan sesuatu projek perumahan baharu kerajaan negeri bukan sahaja menyediakan tempat tinggal semata-mata, malah kemudahan asas untuk keselesaan rakyat yang memenuhi aspek keselamatan dan kesihatan,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: