210 Imam, Bilal Dimantapkan

KEMAMAN, 26 September - Seramai 210 peserta melibatkan imam dan bilal di daerah ini menjalani Seminar Tahsin Imam dan Bilal Peringkat Daerah Kemaman yang berlangsung di Dewan Darul Iman Terengganu Centre (DITC), kelmarin.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkiply Muda melihat seminar yang diadakan ini mempunyai tujuan yang tersendiri dan ianya penting bagi seseorang yang bergelar imam dan bilal.

"Seminar ini lebih membincangkan kepada soal peranan imam dan bilal kerana sebenarnya mereka ini merupakan salah satu yang tergolong dalam kalangan pemimpin masyarakat. 

Seminar ini juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan soal hukum dan sebagainya," ujarnya.

Katanya lagi, selain daripada itu, seminar ini dapat meningkatkan kefahaman berkaitan Al-Quran. 

Beliau yang dijemput sebagai salah seorang penceramah turut berterima kasih kepada penganjur yang sudi menjemputnya bagi berkongsi ilmu dan sebagainya kepada peserta yang hadir.

"Semoga apa yang dikongsi pada hari ini membuahkan hasilnya," ujarnya ketika ditemui pemberita.

Seminar anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu itu turut menjemput Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr. Azizul Hassan sebagai penceramah.

Seminar itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Turut bersama, Pegawai Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek.