58 Unit Tukun Akan Dilabuhkan Bulan Ini

KEMAMAN, 2 Oktober - Sebanyak 58 unit tukun rekreasi dan konservasi akan dilabuhkan di perairan Terengganu sepanjang bulan Oktober ini sebagaimana perancangan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021. 

Setiap daerah yang terlibat bermula dari Kemaman sehingga Besut akan menerima sembilan tukun untuk dilabuhkan ke dasar laut bagi memperkayakan sumber dan mengawal tangkapan laut secara rekreasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Pulau Kapas menjadi lokasi pertama dilabuhkan sembilan unit tukun rekreasi kelmarin.

"Pagi ini (semalam) sepatutnya kita labuhkan lagi sembilan unit di Perairan Kemasik yang terpaksa ditangguhkan kerana keadaan tidak mengizinkan rentetan laut bergelora dengan tiupan Angin Tenggara yang berkelajuan 13 Knott.

"Paling penting kami telah berusaha untuk turun ke medan dengan tongkang yang memuatkan sembilan unit tukun seberat 17 tan dimana ia akan terus berada di sini, apabila cuaca mengizinkan, operasi akan diteruskan dengan segera," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Melabuhkan Tukun Rekreasi di Perairan Kemaman, di sini.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Walau bagaimanapun Azman berkata, pihaknya akan tetap berusaha bagi menyelesaikan program berkenaan pada Oktober ini, walaupun mengalami sedikit kekangan. 

"Kiranya misi di sini tertangguh seketika, terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi iaitu ADUN Chukai, Kemasik, Jabatan Perikanan dan Pertanian serta semua yang telah bersama pada hari ini,"ujarnya.

Untuk rekod, program memperkayakan hasil laut sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 itu membabitkan peruntukan sebanyak RM 1.2 juta oleh kerajaan negeri, dan RM300,000 oleh Kerajaan Persekutuan meliputi  aktiviti melabuhkan tukun dan juga unjam. Foto - Hafiz Muhammad.

 

 


Tag: