• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

700 Peniaga Baru Mohon Berniaga di Pasar Payang 1

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Sebanyak 700 permohonan baru diterima daripada orang ramai yang berminat untuk  berniaga di Pasar Payang 1.

Perkara tersebut disahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Rosli Latif dalam satu kenyataannya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam.

Katanya, permohonan diterima sangat banyak berbanding hanya 50 kekosongan sahaja yang ada.

"Permohonan telah dibuka pada 1 Julai dan ditutup pada 14 Julai lalu bagi kedai emas, kedai cenderahati, kedai pelbagai dan kedai makanan & minuman viral.

"Selepas ini MBKT akan memproses borang tersebut dan memanggil pemohon untuk ditemuduga, proses ini mungkin mengambil masa dalam sebulan atau dua bulan dan dijangka selesai sebelum akhir tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Rosli memaklumkan seramai 109 orang daripada 110 peniaga Pasar Payang 1 telah menerima kunci dan membayar deposit.

Katanya, fasa pertama perpindahan di ruangan bahagian bawah itu melibatkan kedai emas, cenderamata, dan kedai terpakai. 

“Setakat ini, hanya seorang peniaga yang belum membayar deposit dan mengambil kunci,” ujarnya.

Rosli berkata, pihaknya juga telah memberi kelonggaran kepada peniaga untuk membolehkan mereka melakukan kerja-kerja renovasi sehingga 1 Ogos sebelum dikenakan kadar sewa baru.

“Pada mulanya, peniaga dijadualkan berpindah pada 1 Julai, tetapi memahami keperluan mereka untuk bersiap sedia, kami menangguhkan tarikh tersebut.

“Kadar sewa yang dikenakan bulan ini adalah kadar lama Pasar Payang 2. Apabila mereka berpindah pada 1 Ogos, kadar sewa baru akan dikenakan. Mereka kini sedang melakukan renovasi dan persediaan untuk berpindah,” katanya.

Mengulas berhubung papan tanda yang digembar gembur mahal oleh sesetengah pihak, beliau berkata harga yang diletakkan akan berubah selepas proses sebut harga.

“Harga papan tanda RM1,600 yang didakwa mahal itu hanyalah anggaran jabatan, harga sebenar akan ditentukan selepas proses sebut harga. 

“Jika harga yang ditawarkan lebih rendah, peniaga hanya perlu membayar jumlah tersebut. Andai kata ada pembida masuk harganya RM1,200 kita akan cas mereka RM1,200 sahaja, baki itu kita debit dalam akaun sewa peniaga.

“Mereka tidak rugi apa-apa pun, katakan bulan Ogos nanti sewa mereka RM800 mereka bayar RM400 sahaja kerana RM400 lagi diambil daripada baki bayaran papan tanda,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya ingin menyeragamkan papan tanda di Pasar Payang 1 itu sebagaimana yang dilakukan di negara maju.


Tag: