KUALA TERENGGANU, 24 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu disarankan untuk mengkaji serta meneliti peluang dan potensi besar yang ada dalam State Government 4(SG4).
Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, ia susulan sidang kemuncak SG4 yang telah berlangsung beberapa bulan lalu ada menyentuh berkenaan hal ehwal belia khususnya aspek pendidikan.
Katanya, Dasar Pendidikan Rabbani perlu dijadikan teras kepada usaha pembangunan belia dalam negeri.
“Hasrat ini sejajar dengan Teras Strategik Kelapan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu Pembinaan Belia Rabbani yang menjadi batu asas pelaksanaan Program ADUN Belia Terengganu sebagai mercu tandanya.
“Anda semualah yang bakal dijadikan kayu ukur dan contoh ikutan kepada golongan belia di negeri-negeri lain,”ujarnya dalam ucaptama Persidangan ADUN Belia Siri 3/2024 – 2026 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, ADUN Belia perlu berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam memastikan maklumat-maklumat tentang inisiatif dalam Belanjawan 2025 Terengganu yang akan diberikan komitmen oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan masa depan belia Terengganu sampai ke pengetahuan anak muda di DUN-DUN agar mereka tidak tercicir dalam menerima bantuan dan menikmati kemudahan yang disediakan.
Tambah Mohd Nor, sebagai ADUN Belia yang dilantik, jangan sesekali takut untuk membuat kritikan jika ada mempunyai asas dan fakta yang kukuh.
“Tetapi apa yang lebih penting sebagai orang muda yang seharusnya turun kebawah membuat kajian dan seterusnya memberikan cadangan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.
“Hendak berpolitik silakan, tetapi biarlah berbudaya matang dan sejahtera, menawarkan solusi bukan menyalahkan.
“Kalau tidak, kita hanya bagaikan ‘burung kakak tua’ yang hanya pandai menyebut dan mengulang perkara yang sama, tetapi tidak ada jalan penyelesaiannya,”ujarnya.