Berita :
ADUN Cadang Negeri Hasilkan Minyak Masak Sendiri
ADUN Cadang Negeri Hasilkan Minyak Masak Sendiri
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 22 April - Cadangan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun, untuk membina kilang penapisan minyak sawit di Terengganu mencetuskan persoalan terhadap keupayaan negeri itu untuk merealisasikan pembangunan fasiliti tersebut.

Meskipun cadangan itu dilihat berpotensi menjana nilai ekonomi tambahan, Kerajaan Negeri mengakui kapasiti pengeluaran semasa masih belum mencapai tahap optimum untuk menyokong pembinaan kilang penapisan.

Perkara itu dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman.

Menurut beliau, cadangan untuk membangunkan kilang penapisan minyak sawit di Terengganu belum dapat direalisasikan dalam masa terdekat walaupun mempunyai tiga pemain gergasi dalam sektor berkenaan.

"Untuk makluman Dewan, sehingga kini TDM, Ladang Rakyat dan FELDA Terengganu tiada perancangan untuk bangunkan Kilang penapisan sawit (refinery) bagi memproses minyak sawit mentah (CPO) kepada produk siap seperti minyak masak (RBDPO).

"Sebab utama adalah, kapasiti pengeluaran CPO kita masih rendah. Dengan kapasiti ini, tidak ekonomik untuk dibina Refinery.

"'Profit refinery' adalah berdasarkan kepada kapasiti proses, bukan kepada 'profit margin'," jelasnya terhadap cadangan yang telah dikemukakan itu.

Tambah Dr. Azman, industri penapisan sawit memerlukan jumlah pemprosesan yang besar bagi memastikan operasi berdaya maju.

"Perlu ada 'volume process' yang besar, baru ekonomik," katanya.

Selain itu, menurutnya lagi, faktor lokasi juga menjadi pertimbangan penting dalam pembangunan kilang penapisan.

"Lokasi pembangunan refinery perlu strategik, seperti berhampiran pelabuhan," tegasnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan