ADUN Pengkalan Berangan Terima Pingat Kelas Kedua

Oleh: Abdul Fattah Kamarudin 

KUALA TERENGGANU, 2 April - Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong telah dianugerahkan Pingat Kelas Kedua, Anugerah Pingat Komisioner Jeneral Penjara Malaysia.

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhammad berkata, anugerah tersebut adalah untuk mengiktiraf sumbangan individu kepada pihak penjara dalam pelbagai aspek seperti kerjasama, tenaga, penglibatan, dan keprihatinan terhadap warga penjara. 

"Keputusan ini menunjukkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi Ustaz Sulaiman dalam menyumbang kepada institusi penjara", ujarnya. 

Beliau berkata demikian di Majlis Penyematan Pingat yang berlangsung di Hotel Grand Continental, di sini, semalam.

Sulaiman adalah salah seorang penerima pingat yang terpilih antara beberapa individu lain. 

Menurut Datuk Nordin, dahulu, orang yang masuk ke penjara dikenali sebagai ‘banduan’, gelaran banduan dinilai sebagai golongan kelas kedua, konotasi negatif ini merupakan satu doa kepada mereka.

"Kini, mereka dikenali dengan panggilan ‘prospek’ kerana potensi mereka untuk berubah ke arah yang lebih positif”, katanya lagi.


Tag: