Ahmad Samsuri Terima Gelaran Ir

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Di sebalik cabaran dan rintangan politik, pemimpin nombor satu Terengganu, Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dianugerahkan gelaran profesional kejuruteraan 'Ir' iaitu kelayakan tertinggi bagi profesion kejuruteraan di Malaysia.

Menteri Besar Terengganu itu berkata walaupun menjawat tugas eksekutif tertinggi di negeri ketika ini, ia bukan penghalang dan beliau tetap berusaha menjalani proses untuk menjadi jurutera profesional sebagai satu motivasi diri sendiri untuk lebih baik di masa depan.

"Cabaran akan tiba untuk menguji kita, itulah yang membezakan sama ada kita mampu menjadi yang terbaik atau tidak.

"Selepas puluhan tahun berlalu, hari ini saya menerima keputusan permohonan saya sebagai ‘Professional Engineer - atau Ir.’ selepas selesai menjalani proses yang sepatutnya di Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia) sebagaimana di bawah REGISTRATION OF ENGINEERS ACT 1967, REGISTRATION OF ENGINEERS REGULATIONS 1990 (REGULATION 19), " ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya, hari ini.

Menurutnya, ketika berada di darjah satu Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Besut, di minggu pertama persekolahan pada bulan Januari 1977, beliau memilih cita-cita sebagai 'engineer' pada usia kecil.

"Alhamdulillah, dengan rasminya turut bersama dengan keluarga jurutera profesional di Malaysia yang bilangannya hampir 8,000 orang ketika ini.

"Ini  menjadi motivasi kepada semua anak-anak yang masih di alam persekolahan atau universiti untuk teruskan berusaha memajukan diri," ujarnya yang terus mendapat tempat dan menjadi kesayangan orang ramai.


 


Tag: