Akta 672: Terengganu Kaji Sebelum Buat Keputusan

KUALA TERENGGANU, 19 November - Terengganu dalam peringkat kajian serta pertimbangan berhubung menerima pakai penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam mengikut Akta 672 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia berikutan langkah tersebut akan melibatkan implikasi kewangan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain kepada perundangan sedia ada.

“Kita telah menerima beberapa cadangan daripada pihak syarikat untuk penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Bagaimanapun, pihak kami bercadang untuk mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bagi mengetahui lebih lanjut proses-proses sekiranya Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai Akta 672.

“Di samping mendapatkan input-input tambahan daripada negeri-negeri lain yang telah menerima pakai akta berkenaan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Zaharuddin bertanyakan soalan mengenai adakah kerajaan negeri bercadang untuk menerima pakai Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Dalam pada itu, Wan Sukairi memaklumkan, sekiranya bersetuju menerima pakai Akta 672, pihak PBT di negeri ini akan mendapat beberapa kelebihan.

“Antaranya Kerajaan Negeri akan mendapat peruntukan kewangan (subsidi) daripada Kerajaan Persekutuan bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, dan secara tidak langsung dapat menambah baik mutu perkhidmatan perbandaran PBT.

“Selain itu, penyediaan atau penggantian lori kompaktor yang telah uzur kerana pihak syarikat konsesi akan membekalkan lori kompaktor yang baharu dengan bilangan yang mencukupi, di samping tong sampah awam akan dibekalkan ke setiap premis perniagaan dan rumah-rumah kediaman,” ujarnya.

Tambah beliau, penyelarasan kerja-kerja pembersihan ketika musim bencana seperti banjir dapat diselaraskan dengan mudah kerana pemusatan perkhidmatan pembersihan oleh satu syarikat konsesi.

“Juga penggunaan jentera dan kemudahan moden seperti water jetter, ultra whack vacuum, road sweeper akan banyak membantu kerja-kerja pembersihan menjadi lebih efisyen,” jelas beliau.

Bagaimanapun, akan berlaku implikasi kewangan dan perundangan sedia ada kepada PBT sekiranya Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai Akta 672. 

“Ini kerana Kerajaan Negeri/PBT perlu membuat sumbangan ke dalam Kumpulan Wang Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di bawah Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Justeru katanya, sekiranya Kerajaan Negeri menerima Akta 672, Kerajaan Negeri haruslah memperhalusi implikasi kewangan kerana kawasan yang pembangunan baharu perlu diserap oleh PBT/Kerajaan Negeri terlebih dahulu. 

“Selain itu, setiap PBT juga perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk tempoh 21 tahun ke belakang bagi memastikan penerimaan akta tersebut tidak membebankan PBT pada masa akan datang.

“Berkaitan implikasi kepada perundangan pula, kajian secara menyeluruh perlu dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri khususnya PBT tidak lagi mempunyai kuasa eksekutif bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam memandangkan kuasa berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah Akta 171 dan Undang-undang Kecil PBT akan terhapus sepenuhnya,” jelas Wan Sukairi.