'Aunty Amy' Kecewa Videonya di Tiktok Dr Sam Kena Padam

KUALA TERENGGANU, 16 Julai -  Seorang warga emas berbangsa cina di daerah ini kecewa selepas video perkongsiannya di TikTok Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang perpaduan kaum di Terengganu dipadam tanpa sebab.

Wanita yang mesra disapa dengan panggilan Aunty Amy Chua itu berkata, lebih menyedihkan video yang dibuang daripada TikTok Menteri Besar Terengganu tersebut sudah mencecah 5.9 juta tontonan itu.

Katanya, dia merasa amat pelik sedangkan ucapannya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Kali terakhir 'aunty' semak ada 5.9 juta tontonan, sebab hari-hari 'aunty' balas komen orang.

"Tiba-tiba hilang macam tu saja, sedih memang sedih," katanya ketika membalas komen di laporan berkait video terbabit.

Terdahulu, hasil semakan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati, 'Aunty Amy' mempromosi perpaduan kaum yang ada di Terengganu.

Katanya dalam video itu, dia dan rakan-rakan yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk islam.

"Kami bebas mengamalkan agama kami, tokong-tokong di sini pula ada seperti biasa, tak pernah diroboh oleh kerajaan hari ini.

"Apa yang timbul hanya cerita tak betul yang dimainkan pihak tertentu," katanya.

Semalam, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa terkilan selepas melihat senarai video di TikTok Ahmad Samsuri yang dipadam tanpa sebarang alasan.

Katanya, kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).


Tag: