lightning-solid
Berita :
Batu 10 Tamatkan Kemarau Kejuaraan
Batu 10 Tamatkan Kemarau Kejuaraan
Amirul Mohd
30 Oct 25
224

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Kejohanan Piala Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan 2025 menutup tirai dengan penuh gemilang apabila pasukan Kampung Batu 10 dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Kampung Padang Terik dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kemenangan ini sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan pasukan tersebut, yang sebelum ini sering tewas di peringkat separuh akhir dan akhir sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Kampung Temala dan Kampung Kubu masing-masing berkongsi tempat ketiga selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.

Pengarah program merangkap Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Pengkalan Berangan, Ahmad Mundzir Razalli berkata, kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan mencari bakat, malah sebagai platform penyatuan anak muda.

“Matlamat kita bukan sekadar mencari juara di atas padang, tetapi menyemai nilai perjuangan, disiplin dan ukhuwah dalam kalangan belia kampung. Inilah kekuatan sebenar sukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan, termasuk barisan urusetia, pengadil, pasukan perubatan, pegawai keselamatan serta para penyokong yang hadir dengan penuh semangat.

“Kejohanan ini bukti bahawa masyarakat setempat masih mengangkat sukan sebagai alat perpaduan. Insya-Allah, kami di Pemuda PAS akan terus komited dalam melahirkan belia yang aktif, berdisiplin dan berjiwa besar,” ujarnya.

image.jpeg 1.26 MB
Perlawanan akhir itu turut disaksikan oleh ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong yang menyempurnakan penyampaian hadiah dan menyatakan komitmen beliau untuk terus menyokong penganjuran sukan belia di kawasan tersebut.

Kejohanan tahun ini disifatkan antara yang paling meriah dengan kehadiran ratusan penyokong dan penyertaan pasukan dari seluruh kampung, menjadikannya satu kenangan manis buat Kampung Batu 10 yang akhirnya merangkul gelaran juara idaman ramai.


Tag :

Artikel Berkaitan