Benteng Pemecah Ombak Atasi Masalah Penduduk Paka


Oleh : Ezzuan Ahmad

Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi projek pemuliharaan Pantai Paka, Dungun yang sering diancam hakisan setiap kali tibanya musim tengkujuh dan ombak besar.

Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun,  Datuk Din Adam berkata, benteng pemecah ombak  sepanjang tiga kilometer itu akan dilaksanakan pada  pertengahan Mei ini dan dijangka siap sepenuhnya pada  2021.

Katanya, projek pemuliharaan itu  meliputi beberapa pembinaan seperti  struktur pemecah ombak (Breakwater),  T-groin,  penambakan pasir pantai (beach nourishment),  river dikes, perlindungan tebing dan pengerukan alur pelayaran.

"Muara Sungai Paka seringkali mengalami masalah ketika musim tengkujuh seperti hakisan pantai  dan dengan projek pemuliharaan ini ianya akan mampu menyelesaikan masalah hakisan sepanjang muara Kuala Paka,

"Seramai 1,000 penduduk pesisir Pantai Paka boleh menarik nafas lega kerana sering hidup dalam ketakutan setiap kali berlakunya ombak besar apabila  tiba musim tengkujuh, "katanya.



Beliau berkata demikian kepada media ketika  ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman bagi merasmikan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, semalam.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar JPS, Kapten (B) Datuk Ir Anuar yahaya, Pengarah Bahagian Projek Khas JPS,  Mohd Sor Othman, Pengarah JPS Terengganu,  Ir Idrus Ahmad dan Calon BN DUN Paka, Tengku Hamzah Tengku Deraman.

Din berkata,  jika sebelum ini 200 orang nelayan mengalami kesulitan untuk ke laut  dan mendaratkan hasil tangkapan akibat muara yang cetek, kerajaan juga akan melakukan kerja-kerja  mendalamkan muara sungai serta membina benteng penahan ombak.

"Perkara yang dibimbangi nelayan ialah ketika waktu  air surut dimana  ia akan menyulitkan nelayan keluar masuk dan apa yang paling ditakutkan ialah  kejadian kes bos nelayan rosak akibat dipukul ombak besar," katanya.

Menurut beliau, apabila siapnya projek itu nanti, segala kesulitan dan kesukaran yang membelenggu nelayan dan penduduk pesisir pantai itu akan dapat diselesaikan sepenuhnya.



Tag: