KUALA TERENGGANU, 8 April - Pertengahan April ini, rakyat Terengganu buat kali pertamanya akan menikmati beras jenama Terengganu dengan persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh hasil perancangan rapi semua pihak berkaitan.
"Sebelum ini, kita ada padi yang bertaraf myGAP, tetapi sayangnya kita tiada beras myGAP.
"Kesilapan kita adalah kerana rantaian kita tidak lengkap. Kita ada sawah myGAP, petani myGAP dan penerima insentif dari myGAP tetapi apabila kita mesin padi, kita campur dengan padi-padi lain menyebabkan ia tidak mencapai kualiti ditetapkan myGAP," katanya.
Khabar gembira itu disampaikan Azman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Hari terbuka Jabatan Pertanian Negeri, di Ajil, baru-baru ini.
Jelasnya, melalui perancangan dan penyusunan rapi dari peringkat awal sehingga akhir, rakyat Terengganu kini akan dapat menikmati beras jenama Terengganu yang lebih berkualiti.
"Segala rantaian dari petak sawah sehingga mesin padi, pengangkutan untuk di bawa ke kilang, pembungkusan dan pemasaran telah kita persiapkan dengan rapi.
"Persiapan kita ini bukan semata-mata pada satu tahap, sebaliknya kita menyusun rantaian lengkap dari sawah padi sehinggalah kepada pemasaran," katanya.
Menurutnya, Terengganu memiliki sekitar 413 hektar iaitu lebih 1,000 ekar sawah padi samada dalam IADA Ketara atau di luar kawasan jelapang di bawah Jabatan Pertanian Malaysia yang telah mendapat persijilan myGAP.
Dari jumlah itu, sekitar 3,000 metirk tan padi dapat dihasilkan.
"Berapa beras yang akan dihasilkan? Selalunya dalam 60 peratus daripada padi akan jadi beras,jadi itulah anggaran keluaran beras myGAP yang akan kita hasilkan dari sawah-sawah negeri Terengganu.
"Dua hari lepas, kita telah merasmikan penuaian padi myGAP di Kubang Lembu, Besut iaitu dalam kawasan Jelapang IADA Ketara. Sekarang, musim menuai telah bermula dan akan sampai kemuncaknya pada pertengahan April. Insya-Allah, pertengahan bulan ini kita kan dapat menikmatinya," katanya.