MARANG, 9 Ogos - Berita gembira buat penduduk Taman Kalungan Melor, di sini apabila masalah banjir kilat yang sering kali berlaku setiap tahun bakal berakhir tidak lama lagi.
Pembinaan longkang dan saliran air yang sedang dibina adalah satu kaedah bagi mengelakkan masalah banjir lumpur yang dikatakan telah berlaku di kawasan itu sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM350,000 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
"Projek yang bermula pada bulan April yang lalu dan sepatutnya siap pada bulan Julai 2021, namun kerja-kerja ini telah tertangguh akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping kesukaran mendapatkan bekalan bahan binaan.
"Pihak kami mengharapkan projek itu dapat disiapkan secepat mungkin selain mengambil kira aspek keselamatan penduduk dan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi, "katanya.
Beliau berkata ketika selesai meninjau kawasan pembinaan tersebut di kawasan perumahan yang juga terletak di Kampung Bukit, Rhu Rendang.
Turut hadir meninjau ke lokasi tersebut adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng serta wakil-wakil daripada Majlis Daerah Marang dan JPKK Kg Bukit Rhu Rendang.
Sementara itu, menurutnya Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang sentiasa mengambil perjalanan setelah agar masalah ini dapat diselesaikan sesegera mungkin bagi memudahkan urusan penduduk di kawasan itu.
"Prosesnya memakan sedikit masa, selain memerlukan kos yang tinggi, ia melibatkan tanah milikan individu atau peribadi yang memerlukan perbincangan dan persetujuan pihak-pihak tersebut, di samping kerja-kerja yang terganggu kerana COVID-19.
"Siasatan juga dibuat beberapa kali ke tapak lokasi sebelum ini, selain menggunakan inisiatif sementara menggunakan jentera daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membuat serta menggali saliran air sementara.
"Kami juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Daerah Marang dan semua pihak termasuk penduduk dan JPKK di atas kerjasama yang diberikan," " tambahnya lagi.