Haji Yahaya Ali (empat dari kiri) mengacau bubur Asyura di Majlis Dialog & Ramah Mesra Bersama Perantau Anak Terengganu (Perantau). Foto - Harish Fadzillah |
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, semua pihak (stakeholders) khususnya rakyat Terengganu perlu memainkan peranan masing-masing supaya kerajaan yang ditadbir pada hari ini adalah kerajaan yang kuat, disegani dan dihormati.
Katanya, rakyat Terengganu tanpa mengira latar belakang perlu memperbetulkan sikap untuk menjadi rakan kongsi yang baik kepada kerajaan negeri.
"Kita perlu membantu kerajaan negeri dengan menyampaikan sumbang saran, menegur bahkan memperbaikinya bersama-sama kepimpinan.
"Ianya penting supaya kerajaan negeri yang ada tidak syok sendiri.
"Salurkan pembaharuan dan maklumat kerajaan dari sumber yang rasmi supaya sampai kepada semua golongan rakyat.
"Dan yang terpenting adalah kerajaan pada hari ini mesti menjadi 'a good listener' kepada rakyat yang prihatin seumpama ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Dialog & Ramah Mesra Bersama Perantau Anak Terengganu (Perantau) di Wisma Yayasan Terengganu, Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini (6 Oktober).
Dalam perkembangan yang sama, Yahaya Ali yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu berkata, beliau teruja dapat bertemu mata dengan anak-anak Terengganu di perantauan.
Menurutnya, majlis dialog sebegini dapat mengukuhkan hubungan kepimpinan dan rakyat dalam ruang yang ada.
"Mudah-mudahan, perjumpaan santai ini membuka ruang kepada rakyat Terengganu mendapat pencerahan dan perkembangan terkini perjalanan kerajaan negeri.
"Pada akhirnya, yang menilainya adalah saudara saudari sekalian," ujarnya.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti mengacau bubur Asyura oleh ahli Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dan agihan kepada peserta.
Para peserta turut mendapat peluang mendapatkan maklumat daripada Kaunter T'Cakna melibatkan agensi dan jabatan kerajaan negeri termasuk Yayasan Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, T-Mart, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Pejabat Tanah dan Galian Terengganu dan Jabatan Pelancongan Terengganu.
Seramai kira-kira 150 orang menghadiri Majlis Dialog & Ramah Mesra Bersama Perantau Anak Terengganu (Perantau).
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Hishamuddin Hashim, Presiden Persatuan Anak-anak Terengganu (PESAT), Mohd Sham Aziz Ismail, Presiden Perantau, Prof Dr Kamaruzaman Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Darul Iman Training Centre (DITC).