Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
MARANG, 22 September – Jalan raya yang dikatakan 'rosak' atau diturap dengan kurang baik di beberapa lokasi di daerah ini hanyalah turapan sementara ketika proses pengujian saliran projek pemasangan paip dari Sungai Rengas ke Tangki Miel di Marang berjalan.
Pengarah Projek Konsortium KAJV Sdn Bhd, Ir Abdul Samad Sulaiman berkata, kesemua jalan yang terlibat dengan projek terbabit akan diturap semula dengan sempurna sebaik sahaja operasi pemasangan sistem perbekalan air Marang itu siap sepenuhnya.
"Projek ini melibatkan operasi pengorekan, pemasangan paip dan tampalan. Kawasan pemasangan paip melibatkan jalan raya, jadi jalan raya terpaksa dikorek sebelum paip dipasang.
"Jalan yang dikorek setiap dua kilomter akan ditampal secara sementara (dengan premix setebal empat inci bagi mengelak sebarang tekanan terhadap sistem), kemudian paip akan disalirkan air untuk ujian kebocoran dan tekanan.
"Tampalan sementara itu juga penting untuk kerja pemampatan tanah kerana paip di bawah tanah tidak boleh digegar dengan 'roller' yang besar. Kesemua operasi ini biasanya ia mengambil masa enam bulan memandangkan kami hanya bekerja pada waktu malam yang tidak melibatkan aliran trafik tinggi," jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Ir Abdul Samad berkata, setiap kerosakan jalan yang berlaku dalam tempoh itu atas faktor ketebalan turapan, akan sentiasa dibaiki pihaknya.
"Dalam tempoh pembinaan kami berharap pengguna dapat bersabar sekejap kerana kami tak boleh tutup laluan ini untuk bekerja bagi menjaga kepentingan semua pihak.
"Insya-Allah selepas kerja siap, jalan ini akan cantik seperti spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan rakyat akan menikmati jalan yang cantik, selesa dan bekalan air yang bersih serta tekanan yang lebih baik," jelasnya.
Beliau berharap agar pengguna jalan raya bersabar dengan kerja-kerja pemasangan paip yang menghubungkan dari Sungai Rengas ke Tangki Miel dan ke Tangki Perkhidmatan Gondang.
Projek sistem perbekalan air Marang merupakan langkah bagi mengatasi masalah air di daerah ini memandangkan Marang merupakan satu-satunya kawasan yang tidak memilki sumber air sendiri sejak sekian lama.
Ia melibatkan jajaran paip sepanjang 14.5 km dari LRA Kepong ke Tangki Simpanan Meil dan jajaran paip sepanjang 10 km dari Tangki Simpanan Meil ke Tangki Simpanan Gondang yang dijangka siap pada akhir Disember 2022.