DUNGUN, 6 Ogos – Rakyat yakin calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang berpotensi memperoleh majoriti terbesar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri, 12 Ogos ini.
Salah seorang pengundi DUN Rantau Abang, Muhammad Attif Hannan Arifin, 23, berkata, rakyat di DUN itu telah lama mengenali calon tersebut yang merupakan golongan agamawan.
Katanya, calon tersebut pernah belajar di Yaman dan sekarang berkhidmat untuk masyarakat di DUN ini.
“Ustaz Mohd Fadhli terkenal dengan sifat lemah lembut dengan senyuman manis serta mudah mesra dengan penduduk kampung di sini.
“Saya juga bersetuju bahawa PAS meletakkan pemuda untuk menerajui kepimpinan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Terdahulu ketika pengumuman calon PAS, Mohd Fadhli berkata sokongan hebat orang muda terhadap PAS memberi keyakinan kepadanya untuk menjalankan amanah menerajui pimpinan.
“Suasana politik tanah air di negeri ini dapat dilihat bahawa golongan muda lebih cenderung memilih Parti PAS.
“Hal ini kerana, golongan muda zaman sekarang bijak dalam memilih parti yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah keburukan.
“Saya sebagai calon baharu banyak lagi yang perlu dipelajari dan saya akan rujuk mereka yang telah lama dalam kepimpinan,” ujarnya.