'Car Food' Sahur Kini Kembali Pikat Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 3 April – Car Food Sahur 6.0 kembali beraksi di Batu Buruk dengan menawarkan lebih 75 jenis makanan  untuk pengunjung yang ingin menikmati konsep sahur secara santai.

Penganjur Car Food Sahur, Fakhrurazi Zaini berkata, jualan yang diadakan bermula 28 Mac dari jam 10 malam hingga 3 pagi itu memperkenalkan konsep baharu iaitu konsep khemah sebagai tarikan untuk pelanggan bersantai dan makan.di kawasan parkir kenderaan Primula Beach Hotel di sini.

“Pada tahun ini terdapat 30 vendor yang menyediakan pelbagai menu makanan dan minuman berbeza untuk pengunjung membuat pilihan mereka.

“Kita bersyukur kerana sambutan daripada pengunjung cukup meriah dan amat menggalakkan. Kita jangka terima sehingga 4,000 pengunjung yang datang ke sini pada setiap hari dan tempat ini boleh memuatkan kira-kira 5,000 pengunjung pada satu-satu masa,”katanya kepada pemberita.

 Fakhrurazi berkata, acara jualan itu dianjurkan Kelab Belia Kreatif dan Inovasi (Mandalika) dan Pedalhaus sebagai penaja utama dengan sokongan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Primula Beach Hotel serta sukarelawan Springs.

Tambahnya, jualan juga kembali meriah setelah ia dihentikan sementara selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 kerana rata-rata orang ramai merindui acara jualan berkonsepkan sahur secara santai di Batu Buruk di sini.

Seorang pengunjung, Shafie Alias, 31, berkata kewujudan Car Food Sahur ini memberikan lebih pilihan kepada golongan muda sepertinya untuk menikmati juadah bersahur di samping merapatkan silaturahim bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.

"Di bandar raya ini sukar untuk mendapatkan makanan lewat malam kerana banyak kedai yang akan tutup selepas 12 tengah malam, jadi di sini dapatlah saya bersahur dengan menikmati pelbagai juadah kegemaran yang dijual seperti nasi minyak, laksa Terengganu dan kuih-muih tempatan," katanya.