Didikan Awal Berhijab Bermula Dari Rumah

SETIU, 18 Februari - Didikan awal berhijab bermula dari rumah dengan ibu bapa dan penjaga memegang peranan utama dalam membimbing anak-anak mengenai nilai-nilai menutup aurat, pemahaman tentang keagamaan dan mengajarkan kehormatan diri.

Ketua Nisa' kawasan Setiu, Siti Mardhiah Mohd Zain berkata, langkah proaktif itu bagi memastikan anak-anak membesar dengan kesedaran yang kukuh terhadap pentingnya menutup aurat sebagai aspek utama dalam kehidupan beragama.

"Semuanya bermula dari rumah.Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan awal berkenaan berhijab.

"Apabila dari rumah sudah kita asuh dan didik dengan baik maka ia akan menjadi amalan dan ikutan serta amalan yang baik sedari anak-anak kecil sehinggalah dewasa kelak," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Sambutan Hari Hijab Terengganu Peringkat Daerah Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10, pada kelmarin.

Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain bin Abdul Kadir, Pegawai Pejabat Agama Daerah Setiu, Ustaz Mohd Shaharuddin Zainal, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Hamiz Zahiruddin Zahari.

Tambahnya, risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita turut diedarkan pada orang ramai.

Selain itu, stokin tangan dan kaki turut diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang datang membeli belah.

"Terima kasih juga diucapkan kepada Pejabat Daerah Setiu dan juga Majlis Daerah Setiu yang telah menyediakan kemudahan untuk para peserta yang hadir.

"Insya-Allah jumpa lagi di program program akan datang," tambah Siti Mardhiah lagi.

 


Tag: