Doakan Beras Ganu Kembali Semula Ke Pasaran - Exco

KUALA TERENGGANU, 22 April – “Doakan Beras Ganu kembali semula ke pasaran dalam tempoh masa terdekat insya-Allah,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim. 

Beliau mengemukakan kenyataan itu sebagai respons terhadap isu Beras Ganu tiada di pasaran, sambil menekankan bahawa jenama Beras Ganu tidak akan lenyap, namun perlu dilakukan penstrukturan semula berdasarkan situasi semasa.

Katanya, selama kira-kita tiga musim Program Beras MyGAP dengan jenama Beras Ganu berjalan lancar sehinggalah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertukar kepada Kerajaan Madani. 

“Selepas peralihan tampuk kepimpinan di Kementerian Pertanian, beberapa kenyataan bernada memperlekehkan usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam menghasilkan jenama Beras Ganu telah dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

“Kita memahami dari nada kenyataan tersebut bahawa KPKM tidak gembira dengan sedikit kejayaan Terengganu bahkan usaha kerajaan negeri bukan hanya tak disokong malah diperlekehkan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Dr Azman, kemuncaknya ialah, berlaku sabotaj dari Kilang Padi Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) apabila Beras MyGAP yang sepatutnya dibekalkan kepada TADC untuk dibungkuskan dengan jenama Beras Ganu telah dijual kepada pihak lain. 

Tambahnya lagi, hanya 30 peratus sahaja dijual kepada TADC dan dari jumlah padi MyGAP musim 2023 yang telah dibayar insentif oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurutnya, Kilang Konsortium hanya membekalkan 120 metrik tan beras sahaja kepada Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dari jumlah keseluruhan 840 metrik tan yang sepatutnya dibekalkan. 

“Bakinya telah dijual kepada pihak lain tanpa dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri. Untuk makluman, bekalan Beras MyGAP kepada TADC dibayar dengan harga sama sebagaimana kilang jual kepada syarikat lain.

“Kita yakin sabotaj ini bukan keputusan Kilang Konsortium LPP secara bersendirian. Sedia difahami retetan senario sebelum berlaku sabotaj. Ia suatu agenda dari pihak yang lebih atas.

“Panas sampai ke petang yang diharapkan rupanya hujan disiang hari menyebabkan kerjasama dengan Kilang Konsortium LPP tak mampu diteruskan lagi,” jelasnya.

Dr Azman berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan ganti Beras MyGAP dari padi yang telah dibayar insentif oleh kerajaan negeri dan ini adalah hak kita.

Jelasnya lagi, TADC sebagai anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang melaksanakan Program Beras Ganu belum ada kilang padi. 

“Kita hanya ada kilang pembungkusan beras buat masa ini dan di kilang inilah beras MyGAP dibungkus dan seterusnya diedarkan, ‘way forward’ kita ialah untuk TADC memiliki kilang padi sendiri.

“Pelajaran mahal yang kita pelajari dari peristiwa ini ialah, dalam rantaian pengeluaran, kita tak boleh bergantung kepada pihak lain yang tidak berniat baik terhadap kita. 

“Kita mesti mampu berdikari dan menyediakan semua keperluan dalam rantaian pengeluaran sendiri,” ujarnya.

Untuk rekod, Beras Ganu ialah Beras MyGAP, beras berkualiti tinggi yang disahkan selamat secara saintifik terutama dari segi kualiti dan kandungan racun. 

Selain itu, Terengganu adalah negeri yang mempunyai pesawah memiliki persijilan MyGAP paling ramai di Malaysia dan persijilan ini dibawah Kementerian Pertanian.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: