Dr. Samsuri Jelaskan Pertemuan Dengan PM


KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 10 Mei lalu bertujuan berbincang pelbagai perkara berkaitan kepentingan negeri Terengganu.

Menurut Ahmad Samsuri, pertemuan empat mata selama sejam itu mendapat respon positif daripada Tun Dr. Mahathir walaupun tiada apa-apa keputusan dicapai pada pertemuan tersebut.

Ahmad Samsuri berkata, secara umumnya ia adalah perbincangan yang sangat menarik dan positif terhadap apa jua yang diutarakan termasuklah pandangan dari Perdana Menteri sendiri yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam proses memperkasa ekonomi masyarakat.

“Antara perkara yang disentuh termasuklah tentang bagaimana kita seharusnya mengambil langkah untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat terutamanya masyarakat desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan daripada pihak kerajaan sama ada pihak kerajaan negeri ataupun pusat.

“Dengan mengambil kira bahawa kedudukan negeri Terengganu yang menerima wang tunai petroleum atau royalti sejak tahun 70-an lagi, tetapi tidak banyak berubah dari segi pergerakan terhadap struktur masyarakat seperti data kemiskinan dan sebagainya itu yang tidak begitu pantas berbanding dengan apa sepatutnya setelah negeri ini menerima wang petroleum sejak sekian lama,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Publisiti & Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Wisma Darul Iman, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Dato’ TPr. Rokibah Abdul Latif, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak.

Katanya, setiap pandangan yang diberikan oleh Perdana Menteri akan diperhalusi oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat negeri ini.

Sementara itu, dalam status yang dimuat naik di akaun facebook dan instagram miliknya dua hari lalu, beliau turut menjelaskan perkara lain yang dibincangkan antaranya hala tuju pelaburan luar dengan Terengganu selain projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di bawah Teras V.

Begitu juga berkaitan isu wang tunai petroleum, baki pinjaman oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), projek Khazanah di Terengganu dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan.

"Terima kasih atas panduan dan pandangan dari YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri.

"Semoga rayuan kami rakyat Terengganu diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya," tulisnya lagi.

Tag: