KUALA TERENGGANU, 13 November - Daripada keseluruhan 146 premis yang sebelum ini aktif menjual vape di seluruh Terengganu, kini hanya tinggal tujuh premis yang masih dalam proses menamatkan operasi selepas pengharaman penuh rokok elektronik itu dikuatkuasakan pada 1 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun begitu pihak PBT masih melakukan pengawasan agar aktiviti penjualan 'vape' itu benar-benar dipatuhi sepenuhnya.
"Sebelum pengharaman secara total yang dijalankan sebelum 1 Ogos sebanyak , 136 notis telah dikeluarkan (pada 31 Julai) namun selepas itu hanya enam notis sahaja dikeluarkan serta 11 kompaun telah dikenakan membabitkan seluruh daerah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Katanya, mengikut pecahan daerah bilangan premis di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu yang menjual vape sebelum penguatkuasaan adalah 40 namun selepas pengharaman hanya tinggal tiga.
"Manakala di Majlis Perbandaran Kemaman daripada 17 berjaya dikurangkan kepada satu premis, begitu juga di Majlis Perbandaran Dungun dari 26 premis kini hanya tinggal satu.
"Begitu juga di Majlis Daerah Besut dari 36 premis kini tinggal satu, di Majlis Daerah Marang pula dari 10 premis kini tiada lagi yang menjual rokok elektronik dan di Majlis Daerah Setiu pula dari 11 kini tiada lagi yang menjualnya," ujar beliau.
Untuk rekod pada 1 Ogos lalu kerajaan negeri menguatkuasakan larangan penjualan dan pengiklan vape di seluruh Terengganu.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pengusaha dan pekerja di premis vape yang terjejas, Wan Sukairi berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan.
"Ia bagi membantu mereka beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat,"ujar beliau.