KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menjangkakan musim durian di negeri itu bakal memberi impak kepada harga pasaran durian semasa.
Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, pengeluaran hasil durian di Terengganu sehingga September 2021 dianggarkan sebanyak 7,080 metrik tan.
"Musim durian telah pun bermula dengan pengeluaran utama di daerah Besut. Mengikut maklumat yang diperolehi, harga ladang di sana masih lagi sekitar RM4 ke RM5 sekilogram.
"Jadi, saya rasa penghujung bulan ini atau Ogos nanti, harga akan menurun sedikit berikutan pengeluaran hasil dan bekalan yang lebih banyak," katanya.
Jelasnya, dengan harga ladang yang lebih rendah, pihak FAMA akan mengambil langkah-langkah proaktif dengan mengadakan program-program jualan serta agihan bekalan di sekitar negeri Terengganu dan pasaran luar.
"Buat masa ini, kita menumpukan pasaran di Terengganu kerana durian-duiran yang dijual dalam negeri ketika ini adalah durian-durian dari luar.
"Apabila harga lebih rendah, FAMA akan mengagihkannya ke kawasan-kawasan lain supaya kita boleh mengimbangi harga semasa.
"Pandangan saya, durian terengganu ini dikatakan durian organik di mana ketika musim pengeluarannya tidak memakan kos yang tinggi dari segi baja dan sebagainya. Ini membolehkan petani-petani kita menjual dengan harga yang lebih berpatutan," katanya.
Bagaimanapun, Che Ghani tidak menjangkakan penurunan harga terlalu drastik akan berlaku.
"Mungkin sekitar tiga ke empat ringgit pada harga ladang, manakala sekitar lima ke lapan ringgit pada harga runcit.
"Bagi negeri Terengganu, daerah Marang, Kemaman dan Dungun juga banyak hasil durian. Namun, setakat ini hanya Besut sudah mula keluarkan hasil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan MAFI (Kementerian Pertanian & Industri Makanan) Prihatin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, hari ini.
Dalam program tersebut, FAMA mengagihkan sebahagian hasil pertanian dan produk keluaran industri kecil sederhana (IKS) kepada petugas-petugas barisan hadapan di sana.