EKSPO TERENGGANU 2018 : Mat Dan Dapat Berita Mengejutkan




Zahid menjemput Mat Dan ke pentas ketika pelancaran Ekspo Terengganu 2018, di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Haris Fadzillah Abu Kassim dan Tengku Syamim Tengku Ismail.
Dok seke (tidak sangka) pun impian jadi kenyataan bila naik pentas dijemput oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato' Seri Dr Mohd Zahid Hamidi dan kemudian mengumumkan saya layak mendapat taraf Penduduk Tetap (PR) negara ini, kata ikon Ekspo Terengganu 2018, Mat Dan.

Mat Dan atau Mohammad Kareef Daniel Abdullah,29, atau nama asalnya Daniel Tyler merupakan warganegara United Kingdom berkata pengumuman merupakan berita gembira kepada setelah sekian lama menunggu.

"Memang berdebar sangat apabila TPM panggil naik pentas dan sebut saya sebagai ikon Terengganu..dan bila dia umum saya sebagai Penduduk Tetap Malaysia..rasa terkejut dan rasa nak cium je tangan TPM.

"Dok sangka sebab saya sebelum ni memohon visa perkhawinan setiap enam bulan di Kuala Lumpur, baru dalam proses untuk status visa tapi dapat berita gembira ini dari TPM hari ini, " katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Ekspo Terengganu 2018,  di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hari ini.

Zahid merasmikan Ekspo Terengganu 2018. Beliau diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Mat Dan berkata ini, pengumuman yang cukup bermakna itu akan dikenang seumur hidupnya terutama jasa Menteri Besar yang memanjangkan permohonan itu kepada TPM sebelum ini.

"Terima kasih yang tak terhingga kepada MB sebab sokong permohonan saya dan kini saya 'berhutang' kepadanya dengan berita gembira ini.

"Sebagai Duta Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, saya akan bergerak aktif dalam mempromosi negeri dalam pelbagai aspek terutamanya pelancongan negeri," katanya lagi.

Mat Dan mula menetap di Malaysia sejak tahun 2009 selepas pengembaraan beliau ke Pulau Kapas , mula memeluk Islam pada tahun 2013 dan berkahwin dengan seorang gadis tempatan pada Mac 2017.

Mat Dan cukup dikenali kerana kefasihan beliau bertutur bahasa melayu dialek Terengganu dengan baik.

Kini, beliau lebih dikenali dalam rancangan TV yang berkisar tentang pengembaraannya bersama rakan-rakan yang bertajuk "Haramain Backpackers - Trans Siberian" dan juga sebagai pengacara rancangan "Mat Dan Kaki Jalan".

Tag: