KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Festival K-Culture 2024 yang berlangsung di Terengganu telah menambah eratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan keyakinannya bahawa acara sedemikian mampu memperkukuhkan hubungan budaya dan ekonomi antara kedua-dua negara tersebut.
“Dengan adanya festival ini, kita dapat menyaksikan pertukaran budaya secara langsung yang pastinya memperkukuh hubungan kita dengan Korea Selatan.
“Saya yakin, melalui aktiviti seperti ini, rakyat Terengganu dapat lebih memahami dan menghargai keunikan budaya Korea,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Festival K-Culture yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea di KTCC Mall, Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif, dan Ketua Pegawai Eksekutif Emart24, Vuitton Pang.
Ahmad Samsuri berkata Festival K-Culture 2024, yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur, menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran seni tradisional Korea, serta demonstrasi masakan Korea yang menarik minat ramai pengunjung.
“Dalam dunia yang semakin global, memahami dan menghormati budaya antara satu sama lain adalah kunci kepada keamanan dan kemakmuran bersama.
“Festival ini adalah platform terbaik untuk kita membina jambatan antara dua budaya dan mengukuhkan lagi kerjasama kita dalam pelbagai bidang,” katanya.
Yeo Seung-bae dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Terengganu atas sambutan hangat yang diberikan.
“Kami amat berbesar hati dapat membawa Festival K-Culture ke Terengganu dan berharap hubungan antara Korea Selatan dan Malaysia akan terus berkembang pesat.
“Festival K-Culture 2024 diharapkan dapat menjadi platform untuk memupuk rasa hormat dan persefahaman antara komuniti di Terengganu dan Korea Selatan, seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” ujarnya.