KUALA NERUS, 13 Januari - Enggan mengambil risiko kerugian, pemilik francais Kopi Payung Batu Rakit terpaksa memunggah sebahagian kedainya sebelum runtuh dibadai ombak.
Muhd Rushdi Samsudin, 43, berkata dia terpaksa membuat keputusan tersebut apabila melihat situasi semakin memburuk sejak semalam.
"Apa yang boleh kita selamatkan, saya bawa keluar barang-barang sejak semalam ekoran ombak yang sangat tinggi sampai cecah atap.
"Pagi ni kita cabut atap dan tengok esok macam mana keadaannya kerana pokok kelapa depan kedai dah tumbang semuanya ke dalam laut," ujarnya ketika ditemui.
Tambahnya, hakisan tetap berlaku walaupun terdapat timbunan batu menghalang di hadapan kedainya yang dibuat sejak tahun 2023.
"Benteng batu berkenaan nampaknya tidak berupaya melawan ombak ganas pada kali ini.
"Ini kerana batu-batu berkenaan makin mendap menyebabkan ombak berjaya menghakis tebing," ujarnya.
Dia yang kerugian lebih separuh pendapatan sejak kejadian hakisan itu terpaksa mencari jalan untuk meneruskan perniagaannya.
"Kita cuba berniaga dulu di kawasan tanah lapang depan kedai tapi jika masih berisiko maka terpaksalah mencari lokasi baru untuk memulakan perniagaan," jelasnya.
Dalam masa sama, dia berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat mencari solusi bagi masalah hakisan itu demi kebaikan semua pihak.