Hulu Terengganu Rekod 3,351 Mangsa, PPS Pengkalan Ajal Tertinggi

HULU TERENGGANU, 28 November -Sejumlah 46 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Hulu Terengganu dengan  PPS Pengkalan Ajal  yang menempatkan paling ramai mangsa iaitu 316 orang terdiri daripada 96 keluarga.

Tinjauan juga mendapati, penduduk kampung berkenaan mula berpindah awal bagi mengelakkan sebarang musibah demi keselamatan mereka.

Bagi Raja Nur Izzati Raja Besar , 33, dia mula berpindah sejak awal pagi semalam apabila air mula naik di sekitar rumahnya.

"Berdasarkan pengalaman lepas, air cepat naik lebih- lebih lagi hujan lebat tanpa henti sejak dua tiga hari ni.

"Demi keselamatan enam anak saya termasuk bayi yang berusia tujuh bulan lebih baik pindah segera ke PPS sebab kita tak tau bila air naik mendadak," ujarnya yang pernah mengalami saat rumah dinaiki air hampir satu meter pada tahun 2022.

Sementara itu situasi banjir di Terengganu  juga terus memburuk dengan jumlah mangsa direkodkan meningkat kepada 14,111 pada jam 4 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri memaklumkan daerah paling teruk terjejas iaitu Besut merekodkan 5,076 mangsa daripada 1370 keluarga yang berlindung di 69 PPS; manakala di Setiu, seramai 3,514 mangsa (1,011 keluarga) berada di 41 PPS.

Hulu Terengganu pula  mencatatkan 3,351 mangsa (1,103 keluarga) di 46 PPS manakala di Kemaman 1,407 mangsa (407 keluarga) di 18 PPS.

Sementara itu, Dungun merekodkan  446 mangsa (135) keluarga di lapan PPS; manakala di Marang seramai 296 mangsa (84 keluarga) di tujuh PPS.


Tag: