HULU TERENGGANU, 28 November - Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD)(PARA) memainkan peranan membantu mangsa banjir terkandas untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan juga segelintir yang mangsa mahu dibantu untuk dibawa pulang ke rumah.
Operasi bermula sejak jam 10.30 pagi tadi sehingga jam 4.30 petang, dikenali sebagai Ops Murni yang diketuai oleh Ketua Kompeni Markas iaitu Mejar Mohd Shahril Mohd Usof bersama satu Pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat (LLP).
Sementara itu, salah seorang mangsa banjir yang ditemui di PPS Pengkalan Ajal , Esah Ramli,67, berkata rumahnya digenangi air sehingga paras leher, sejak beberapa jam lalu, air sedikit surut dan dia mengambil keputusan untuk pulang membersihkan rumah sebelum lumpur mengeras.
"Banjir tahun ni luar biasa, tapi tak seteruk tahun 2021, hujan dua hari je air naik mendadak, tak larat nak berdepan banjir tiap-tiap tahun.
"Kalau tak balik basuh rumah, nanti bila dh kering sangat susah nak basuh jadi kita pulang sekejap untuk bersihkan apa yang patut.
"Alhamdulillah, bila ada askar datang bantu rasa lega", katanya yang ditemani menantu, Zabedah Deraman, 39 tahun.
Sementara itu di Terengganu, mangsa dilaporkan semakin meningkat kepada 17,762 pada malam ini di 206 PPS berbanding 9,005 orang pada pagi tadi.
Tujuh daerah di Terengganu terlibat banjir kecuali di Kuala Terengganu dilaporkan sehingga 8 malam berdasarkan laporan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri.