• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Ibu Muhammad Ikhwan Reda Pemergian Anak



KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa anak kami, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," kata Noriah Othman, 52, ibu kepada salah seorang mangsa lemas di Pantai Teluk Bidara.

Anaknya Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) ditemui dalam jarak lapan kilometer dari Pantai Teluk Bidara kira-kira pukul 11.35 pagi tadi.

Noriah berkata, jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau An Nur Mengabang Tengah, disini selepas solat Asar sebaik selesai bedah siasat dijalankan Unit Forensik di Hospital Dungun.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas Maghrib malam kelmarin setelah dimaklumkan rakan Politeknik arwah kepada suaminya, Ahmad Azhan Abdul Hamid, 53.

“Selepas mendapat berita tersebut, kami sekeluarga terus bergegas ke lokasi kejadian,” ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui dirumahnya, hari ini.

Menceritakan lanjut, Noriah berkata, arwah Ikhwan tidak menunjukkan sebarang petanda pelik sebelum meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

“Cuma sejam sebelum kejadian, saya ada menelefonnya dan dia begitu bersungguh-sungguh meminta kami sekeluarga melawatnya di Politeknik pada hari Sabtu (semalam), dan saya tidak sangka itu adalah permintaan terakhirnya,” ujar Noriah.

Terdahulu,empat pelajar PSMZA dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan.

Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dari Kuantan; Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, dari Kemaman; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dari Kuala Terengganu dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee dari Melaka, dikatakan mandi di pantai terbabit kira-kira jam 6 petang pada hari Jumaat baru-baru ini.

Tag: