lightning-solid
Berita :
46 Kemalangan, 11 Maut Direkod Sepanjang Program RXZ Members
46 Kemalangan, 11 Maut Direkod Sepanjang Program RXZ Members
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
36

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Polis Diraja Malaysia merekodkan 46 kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal sepanjang tempoh program RXZ Members dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Daripada jumlah itu, 11 kes atau 23.91 peratus merupakan kemalangan maut, lima kes atau 10.87 peratus kemalangan parah, manakala 30 kes atau 65.22 peratus lagi kemalangan ringan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, jumlah kemalangan tertinggi direkodkan pada 31 Julai dengan 16 kes.

Ia diikuti 15 kes pada 2 Ogos, 11 kes pada 1 Ogos dan empat kes pada 30 Julai.

Menurutnya, golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatat penglibatan tertinggi, iaitu 19 orang atau 41.30 peratus.

Secara keseluruhan, daripada 46 penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan, seramai 29 orang atau 63.04 peratus berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Umur 20 tahun pula mencatatkan penglibatan tertinggi dengan tujuh orang.

Dari segi jantina, seramai 44 orang atau 95.65 peratus ialah lelaki, manakala dua orang atau 4.35 peratus lagi perempuan.

Analisis JSPT turut mendapati jenis kemalangan langgar belakang mencatat jumlah tertinggi dengan 21 kes.

Ia diikuti terbabas sendiri sebanyak 15 kes, langgar sebelah tepi sebanyak tujuh kes dan bergesel sebanyak tiga kes.

Kesemua 11 kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes kemalangan parah disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta sama.

Kes kemalangan ringan pula disiasat mengikut peruntukan kaedah-kaedah lalu lintas berkaitan.

JSPT berkata antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ialah kecuaian, kegagalan mengawal kenderaan, mengekori terlalu rapat serta tindakan menunggang secara tidak selamat.

Sehubungan itu, penunggang motosikal dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat, mengelakkan pergerakan berkumpulan yang tidak terkawal serta tidak berlumba atau melakukan aksi berbahaya.

Penganjur program atau perhimpunan bermotosikal pula disaran menyediakan pelan pergerakan yang teratur, memberi taklimat keselamatan kepada peserta serta menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa.

JSPT turut memberi amaran bahawa pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas akan terus dipertingkatkan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau menunggang secara berbahaya.


Tag :

Artikel Berkaitan