Berita :
Bantuan Kerajaan Ibarat Cendawan Tumbuh Selepas Hujan — Dr Azman
Bantuan Kerajaan Ibarat Cendawan Tumbuh Selepas Hujan — Dr Azman
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
74

KUALA TERENGGANU , 17 Mei — Sektor ekonomi rakyat disifatkan mampu berkembang pesat seperti fenomena 'cendawan tumbuh selepas hujan' sekiranya segala bentuk bantuan dan insentif yang disediakan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, analogi itu dapat dilihat melalui pertumbuhan 'kulat gelam' (cendawan liar) yang biasanya melata selepas berakhirnya musim kemarau panjang.


Menurut beliau, biarpun saiz cendawan tersebut kecil, namun impak pertumbuhannya yang banyak dan meluas memberi limpahan rezeki yang besar kepada komuniti setempat.


"Walau dilihat saiz cendawan tidak besar tapi tumbuhnya banyak dan melata.


"Tentu ia lebih baik daripada menanam sepohon pokok besar yang tumbuh gagah, tetapi kemudiannya menyekat ruang pokok-pokok lain untuk tumbuh dan mendapatkan cahaya," katanya.


Mengulas lanjut, Dr. Azman mengambil contoh keunikan kulat gelam yang amat sinonim dengan masyarakat kampung di Terengganu, terutamanya apabila dihidangkan sebagai menu tradisional seperti kerabu atau dicicah bersama air asam.


Katanya, peribahasa 'cendawan tumbuh selepas hujan' itu bukan sekadar berbicara tentang kelazatan kulat gelam semata-mata, sebaliknya ia membawa mesej yang lebih mendalam tentang bagaimana ekonomi berskala kecil mampu dipacu.


Beliau memberi bayangan bahawa pendekatan memperkasakan usahawan kecil dan sektor pertanian domestik secara menyeluruh adalah lebih efektif berbanding hanya memberi tumpuan kepada entiti gergasi yang berisiko memonopoli pasaran.


Strategi tersebut dilihat mampu memastikan agihan kekayaan ekonomi yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat di negeri ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan