KUALA TERENGGANU, 17 Mei – Syarikat Kumpulan Terengganu Inc, GPQ Sdn. Bhd. (GPQ), bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor kesihatan swasta di Pantai Timur apabila dilantik sebagai pemaju bagi projek KMI Chukai Medical Centre di Kemaman.
Pembangunan hospital pakar moden itu dilaksanakan menerusi surat niat (LOI) oleh Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) kepada GPQ, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat berkaitan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan strategik bernilai tinggi.
Majlis penyerahan surat niat tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah GPQ, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman, bersama KMI Healthcare yang diwakili pengerusinya, Dr. Alias Razak, di ibu pejabat KMI Healthcare, Kuala Lumpur.
Surat niat berkenaan ditandatangani kedua-dua pihak pada 30 April lalu, sebagaimana pengumuman kepada Bursa Malaysia pada tarikh yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, surat niat itu menyatakan hasrat KMI untuk melantik GPQ sebagai pemaju projek berkenaan, dengan anggaran kos pembangunan bernilai RM142.8 juta.
“Projek ini dijangka merangkumi pembangunan infrastruktur hospital, kemudahan perubatan serta fasiliti sokongan bagi memenuhi keperluan operasi sebuah hospital pakar moden,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan KMI Chukai Medical Centre merupakan langkah penting dalam merealisasikan pelan pengembangan jangka panjang KMI Healthcare, selain memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada komuniti di Pantai Timur.
“Kemaman dilihat sebagai lokasi strategik berpotensi tinggi dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap keperluan kemudahan rawatan pakar yang moden dan komprehensif,” jelasnya.
Pembangunan itu turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada Terengganu, khususnya melalui peluang pekerjaan, pembangunan ekosistem perkhidmatan sokongan serta pengukuhan Kemaman sebagai antara pusat pertumbuhan baharu di Pantai Timur.
KMI Chukai bakal menjadi hospital kedua di Terengganu di bawah rangkaian KMI Healthcare selepas KMI Kuala Terengganu Medical Centre, yang kini diiktiraf sebagai antara hospital swasta utama di negeri ini dengan kekuatan dalam perkhidmatan kardiologi dan ortopedik.
Projek berkenaan juga memperlihatkan peranan aktif syarikat berkaitan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan bernilai tambah, bukan sahaja dalam sektor hartanah dan infrastruktur, tetapi turut menyumbang kepada agenda kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan kesihatan moden.
Pembangunan KMI Chukai Medical Centre dijangka dapat menampung peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dalam kalangan penduduk Terengganu serta kawasan sekitar termasuk Kemaman, Dungun dan Pahang Timur.
Tag :