DUNGUN, 27 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menyifatkan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) kini bukan lagi sekadar peperiksaan pendidikan agama di peringkat rendah, sebaliknya semakin mendapat perhatian sebagai antara komponen penting dalam laluan pendidikan pelajar.
Beliau berkata, perubahan landskap pendidikan ketika ini menyaksikan semakin ramai ibu bapa memberikan perhatian terhadap pencapaian UPKK, termasuk melihat kecemerlangan dalam peperiksaan itu sebagai antara nilai tambah kepada perkembangan pendidikan anak-anak.
"Keadaan tersebut jauh berbeza berbanding suatu ketika dahulu apabila UPKK tidak diberikan perhatian seperti hari ini.
“Dulu masa kita, pergi belajar UPKK pun kadang-kadang pergi dengan tidak pergi sama banyak. Masa periksa pun buat lebih kurang kerana tidak ramai yang tengok UPKK.
“Tetapi hari ini, UPKK sudah menjadi satu peperiksaan yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyampaikan anugerah pada Majlis Penyampaian Hari Anugerah Kecemerlangan UPKK yang berlangsung di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Fakhruddin berkata, peningkatan perhatian terhadap UPKK turut dapat dilihat dengan kewujudan kelas dan pusat tuisyen khusus bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan tersebut.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan perubahan terhadap persepsi masyarakat terhadap pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), khususnya dalam melihat kepentingan penguasaan ilmu agama sejak di peringkat sekolah rendah.
“Sekarang bukan sahaja kita memberikan sumbangan kepada pelajar UPKK yang cemerlang, bahkan kelas UPKK pun sudah ada tuisyen.
“Zaman kita dahulu, mana ada tuisyen UPKK,” katanya.
Dalam pada itu, pencapaian UPKK juga dilihat semakin dinilai untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah tertentu, khususnya yang mempunyai penekanan terhadap pengajian Islam dan Bahasa Arab.
Menurutnya, pencapaian dalam UPKK boleh menjadi antara asas penilaian bagi sesetengah laluan pendidikan, sekali gus menunjukkan peperiksaan berkenaan mempunyai kepentingan yang semakin besar dalam perkembangan pendidikan anak-anak.
“Ini menunjukkan kecemerlangan UPKK hari ini mempunyai nilai yang semakin besar dalam perjalanan pendidikan anak-anak.
“Namun, jangan anggap KAFA itu hanya sekadar peperiksaan. Ini adalah asas yang anak-anak akan gunakan untuk menjadi seorang Muslim yang baik.
“Adab yang dipelajari itu bukan sekadar untuk dijawab dalam peperiksaan, tetapi perlu disimpan dalam hati dan diamalkan supaya kita menjadi orang yang beradab,” katanya.
Beliau turut berharap kecemerlangan yang dicapai pelajar tidak hanya menjadi catatan dalam keputusan peperiksaan, sebaliknya menjadi asas untuk mereka melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan kehidupan.
Katanya, pendidikan Islam perlu terus diberikan perhatian kerana ia bukan sahaja membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik, malah melahirkan generasi yang mempunyai ilmu, akhlak dan jati diri.
