'Ini Tidak Benar, Projek Padang Setengge Siap Sepenuhnya'

KUALA TERENGGANU, 3 April - Dakwaan bahawa kerajaan negeri lewat dalam menyiapkan Projek perumahan Padang Setengge yang terbengkalai ketika pentadbiran terdahulu adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, projek perumahan yang terbengkalai lebih 10 tahun itu sebenarnya telah siap sebagaimana dijadualkan.  

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS Terengganu ambil alih isu ini dan berjumpa dengan pembeli yang teraniaya, walaupun kami yang dimarahi oleh mereka. Prosesnya memang panjang kerana ada kes mahkamah yang terpaksa kami selesaikan sebelum kami dapat teruskan pembinaan selepas itu.

“Petang tadi, saya difahamkan oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan bahawa projek ini sudah siap  pembinaannya. 

“Cuma Tenaga Nasional Berhad (TNB) sahaja belum masukkan elektrik. Maka itu tanggungjawab TNB sebab kita sudah serahkan kepada mereka di peringkat ini dan prosesnya juga akan memakan masa,” katanya ketika menjawab isu tersebut dalam satu ceramah perdana di Jerteh, baru-baru ini.

Jelasnya, kejayaan merealisasikan harapan 234 pembeli rumah projek terbengkalai yang ditinggalkan kerajaan terdahulu merupakan satu kejayaan bagi pihaknya.

Menurut beliau, berdasarkan rekod, anggaran kos pembaikian rumah terbengkalai di Padang sentegge itu adalah antara RM8.5 hingga RM10 juta.

"Tidak ada kos tambahan yang dikenakan kepada pembeli dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan," jelasnya.

Terdahulu,  projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah dan dijadualkan diserahkan kepada pembeli pada Ogos 2014.

Sebanyak lebih 100 unit rumah di fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek.



 


 


Tag: