DUNGUN, 24 Mac – Umat Islam diseru agar terus istiqamah dalam membaca al-Quran walaupun selepas Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat mengingatkan hadirin agar amalan membaca al-Quran tidak hanya terbatas kepada program tadarus yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan.
“Harap walaupun takda program-program tadarus al-Quran, kita masih kekal bertadarus di rumah dan terus istiqamah walaupun selain Ramadan,” katanya.
Beliau menyampaikan perkara ini dalam tazkirah sempena program tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh Muslimat Paka di Surau Ibadurrahman, Paka.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa membaca al-Quran bukan sekadar satu ibadah, tetapi juga satu bentuk komunikasi dengan Allah SWT.
“Kita baca al-Quran ni ialah kita sedang baca utusan yang disampaikan oleh Allah SWT,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, al-Quran merupakan panduan yang diturunkan oleh Allah untuk membimbing kehidupan manusia.
Beliau memberikan perumpamaan mudah tentang kepentingan mengikuti panduan dalam kehidupan seharian.
“Sebab itu Allah SWT ciptakan kita dan jadikan al-Quran sebagai panduan."
"Kita beli mesin basuh, dalam kotak mesti ada buku panduan."
"Dalam buku tu ada terang cara guna supaya tidak salah guna,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa manusia juga mempunyai ‘buku panduan’ tersendiri yang tidak lain adalah al-Quran.
“Begitu juga dengan manusia. Buku panduan bagi manusia ialah al-Quran. Baca dan cubalah fahami maksud di setiap ayat yang kita baca,” tambahnya lagi.