lightning-solid
Berita :
Isu Pencerobohan Hutan: Cadangan Tambah Keperluan kepada 5,000 Anggota Ranger Komuniti
Isu Pencerobohan Hutan: Cadangan Tambah Keperluan kepada 5,000 Anggota Ranger Komuniti
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
24 Nov 25
46

KUALA LUMPUR, 26 November — Keberkesanan Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) kembali menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, mempersoalkan perkembangan pelantikan Ranger Komuniti (RK) sebagaimana sasaran 3,000 anggota yang diumumkan kerajaan bagi tahun 2025.

Berucap di Dewan Rakyat minggu lalu, beliau membuka perbahasan dengan menegaskan bahawa usaha melindungi hutan dan khazanah biodiversiti negara tidak boleh dipandang enteng.

Menurut Wan Hassan, laporan media sebelum ini menunjukkan ketidakseimbangan antara sasaran kerajaan dan keperluan sebenar penguatkuasaan di lapangan. 

"The Star pada 29 Mei 2025 melaporkan sasaran penempatan 3,000 Ranger Komuniti, termasuk veteran tentera, pesara polis dan masyarakat Orang Asli. Namun, laporan New Straits Times pada 22 September 2025 pula menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 5,000 ranger diperlukan bagi memerangi pemburuan haram secara menyeluruh.

“Saya ingin tahu berapa ramaikah daripada sasaran 3,000 ranger ini telah dilantik, di mana mereka ditempatkan, dan apakah hasil operasi setakat ini. Jika keperluan sudah meningkat kepada 5,000, adakah kementerian berhasrat menambah bilangan ini menjelang 2026?” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai kesan pencerobohan hutan terhadap habitat hidupan liar, yang menyebabkan berlakunya konflik antara manusia dan haiwan seperti gajah apabila habitat asal terganggu.

“Setiap spesies mempunyai zon penempatan tersendiri. Apabila hutan diteroka tanpa kawalan, keseimbangan ini terganggu dan penduduk menjadi mangsa,” tegasnya.

Wan Hassan menekankan bahawa menambah bilangan ranger, memperkukuh rondaan serta memastikan pemuliharaan habitat merupakan langkah penting dalam menjamin keselamatan rakyat dan memastikan warisan biodiversiti negara terus terpelihara.


Tag :

Artikel Berkaitan